PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mahu Bajet 2023 menumpukan kepada pengukuhan daya saing dalam industri pembuatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi mengurangkan tekanan kos inflasi, meningkatkan produktiviti industri dan menyokong pertumbuhan hijau dan kemampanan.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, Bajet 2023 perlu memberi penekanan kepada sokongan perdagangan bagi industri untuk meluaskan akses pasaran mereka kerana ramai yang terkesan teruk akibat gangguan rantaian bekalan ketika pandemik Covid-19 serta perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, perkara tersebut telah menghalang keupayaan syarikat untuk memenuhi keperluan untuk pesanan jualan mengakibatkan sesetengah syarikat kehilangan pelanggan mereka dan terpaksa membina semula pasaran mereka.
“Selain itu, kerajaan boleh menyediakan geran pembangunan pasaran untuk mengembangkan pasaran dan mempercepatkan penguatkuasaan undang-undang Perolehan Kerajaan (GP) tunggal.
“Kerajaan juga diminta untuk menyegerakan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah.
“Ini bagi memastikan negara tidak kalah lagi dengan Vietnam yang telah pun melaksanakan CPTPP dan meratifikasi FTA EU-Vietnam pada Jun 2020,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
beliau berkata, pihaknya juga meminta elaun pelaburan semula (RA) dapat dilanjutkan bagi membantu pengilang sedia ada meningkatkan daya saing dan produktiviti dalam tempoh pemulihan ini.
Menurutnya, kerajaan juga boleh mengenakan cukai yang kompetitif dengan menurunkan kadar cukai korporat secara beransur-ansur kepada 20 peratus dan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai korporat untuk PKS kepada antara 13 peratus atau 15 peratus untuk dua tahun akan datang.
“Ini berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar berterusan. Atau sebagai alternatif , kerajaan boleh mempertimbangkan kadar cukai korporat rata untuk PKS pada 17 peratus.
“Dalam pada itu, kerajaan dicadangkan untuk mengurangkan kadar cukai korporat antara satu peratus hingga lima untuk syarikat yang dapat memperoleh bekalan mereka sebanyak 30 peratus ke atas.
“Kami juga berharap kadar cukai peribadi dapat diturunkan secara beransur-ansur untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan menggalakkan penggunaan yang lebih besar,” jelasnya. – UTUSAN









