PETALING JAYA: Kumpulan AmBank terus melengkapkan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan inisiatif terkini bagi menyerlahkan kesedaran mengurangkan jejak karbon di tempat kerja dalam kalangan pekerjanya.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan, Rohani Mustaffa berkata, setiap pekerja mampu memainkan peranan dalam menjaga dan menyembuhkan alam sekitar.
Ujarnya, ia boleh bermula dengan langkah pertama berlatih dan berusaha untuk mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula dalam rutin harian kita.
“Perubahan ini mungkin kelihatan kecil dan tidak mengurangkan jejak karbon kita semalaman, tetapi dengan komitmen bersama pasti membawa kepada kesan jangka panjang yang signifikan.
“Peralihan dunia kepada masa depan yang lebih mampan memerlukan tindakan kolektif dan penemuan besar teknologi. Untuk itu, adalah penting bagi AmBank menerapkan budaya ESG ke dalam tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Kelestarian Kumpulan, Datin Zameema Ariff berkata, kumpulan akan kekal komited dalam mendidik, menyepadukan dan mencipta penyelesaian untuk masa depan hijau.
“Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif berkaitan kemampanan, kami berjanji untuk berkembang secara mampan sambil mengutamakan risiko dan peluang ESG. Strategi dan inisiatif ini adalah bahagian penting dalam fokus kumpulan pada penciptaan nilai pemegang saham jangka panjang dengan memajukan matlamatnya melalui pendekatan seluruh kumpulan dalam kemampanan,” katanya.
Untuk mengekalkan momentum itu, Kumpulan AmBank merancang untuk membangunkan pelbagai webinar berkaitan ESG sebagai sebahagian daripada siri pembelajaran secara maya termasuk program latihan dan kursus digital untuk pekerjanya. – UTUSAN










