PETALING JAYA: AmBank telah melancarkan dua kad kredit perniagaan baharu iaitu AmBank Visa Infinite Business dan Visa Platinum Business Card yang menawarkan pelbagai manfaat nilai tambah, membolehkan pemilik perniagaan mengurus perbelanjaan harian mereka dengan lebih berkesan.
Pengarah Urusan Perbankan runcit AmBank, Aaron Loo berkata, kad baharu itu mengisi jurang kritikal dengan memenuhi keperluan pemilik perniagaan yang semakin berkembang dengan menyediakan tempoh 28 hari tanpa faedah untuk melancarkan aliran tunai mereka.
“Selain itu, tiada caj yuran tahunan untuk kad tersebut. Kad Perniagaan AmBank Visa Platinum menyasarkan pelanggan PKS, manakala Kad Perniagaan Visa Infinite menyasarkan syarikat yang lebih besar seperti pelanggan perbankan borong dan perbankan perniagaan.
“Kedua-dua kad direka bentuk untuk menawarkan cara mudah untuk perniagaan membayar pembelian dan mengurus perbelanjaan perniagaan harian mereka sambil menjadikannya lebih bermanfaat,” katanya dalam kenyataan.
Kad Perniagaan AmBank Visa Infinite menawarkan pulangan tunai 0.5 peratus untuk petrol, syarikat penerbangan, hotel, makanan dan perjalanan.
Pulangan tunai tidak mempunyai had dan tiada keperluan perbelanjaan minimum, jadi, pemilik perniagaan boleh mendapat pulangan tunai dengan setiap ringgit yang dibelanjakan.
Pengembara perniagaan boleh mendapat manfaat daripada pulangan tunai 1 peratus untuk sebarang transaksi di luar negara.
Pemegang kad juga boleh menikmati Keahlian Club Marriot percuma yang merangkumi keistimewaan penginapan dan makan.
Tambahan pula, pelanggan akan mendapat akses ke kemudahan Plaza Premium Lounge dan pelan perlindungan perjalanan percuma sehingga RM2 juta.
Sementara itu, Kad Perniagaan AmBank Visa Platinum menawarkan mata ganjaran untuk transaksi tempatan dan mata ganjaran berganda untuk transaksi di luar negara.
Kad ini juga disertakan dengan akses ke Plaza Premium Lounge dan perlindungan insurans perjalanan RM1 juta.
Pemegang kad juga dilindungi dengan pelan kemalangan peribadi percuma sehingga RM30,000.
Selaras dengan pelancaran kad itu, AmBank telah menandatangani perkongsian dua tahun dengan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), sebuah organisasi bukan untung yang mempunyai lebih 3,000 pemilik perniagaan daripada pelbagai sektor perniagaan seperti pembinaan, teknologi maklumat, logistik, F&B, dan pengiklanan.
Perkongsian itu akan membuka jalan kepada AmBank untuk bekerjasama dengan ahli PUMM untuk mengukuhkan kesedaran kewangan mereka dan membolehkan mereka mendapat akses kepada pembiayaan dengan lebih mudah selain memberikan pemahaman tentang pelbagai produk dan alatan yang AmBank ada untuk membantu perniagaan mengoptimumkan. – UTUSAN










