AirAsia kembali pulih sepenuhnya suku pertama 2023

AirAsia kembali pulih sepenuhnya suku pertama 2023

KETUA Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Riad Asmat pada majlis meraikan penyambungan semula operasi AirAsia di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, Singapura, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: AirAsia Berhad menyasarkan operasi Malaysia-Singapura akan pulih sepenuhnya pada suku pertama 2023 susulan kembali beroperasi di Terminal 4 (T4) Lapangan Terbang Changi di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai tahap pengoperasian semula sebanyak 86 peratus pada Disember ini.

“Sebelum pandemik, kami melakukan sebanyak 23 penerbangan sehari, sekarang kami hanya melakukan 15 penerbangan sehari. Menjelang Disember tahun ini, kami sasar untuk melakukan 20 penerbangan sehari.

“Memandangkan kekangan dari segi jumlah pesawat dan cabaran bagi keupayaan penyelenggaraan serta pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia untuk mendapatkan pesawat yang diservis, keutamaan kami adalah untuk menjadikan pesawat itu layak terbang dan (memastikan) keselamatan penumpang.

“Penyambungan semula penerbangan ke T4 ini membenarkan kami untuk kembalikan semula kekerapan seperti sebelum pandemik. Namun ia bergantung kepada kapasiti, kemampuan serta sumber.

“Setelah berjaya mencapai 20 penerbangan sehari pada Disember kelak, kami akan mula merancang penerbangan ke destinasi dan laluan baharu sekali gus dapat meningkatkan kekerapan kami di masa depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis meraikan penyambungan semula operasi AirAsia di T4, di sini.

Sebagai tanda penyambungan semula penerbangan tersebut, penerbangan pertama AirAsia mendarat di T4 pagi ini dari Kuala Lumpur (penerbangan AK703) menggunakan pesawat Airbus A330 dengan muatan penuh 100 peratus.

Sejak dilanda pandemik, syarikat penerbangan itu beroperasi di Terminal 1 Lapangan terbang Changi.

Mengenai rancangan pengembangan, beliau berkata, Kumpulan akan memperuntukkan pesawat baharu yang telah ditempah mengikut permintaan dan keperluan di seluruh operasi Kumpulan.

Jelasnya, cadangan untuk meluaskan operasinya di Indonesia dan Filipina sedang dibincangkan, termasuk di Malaysia.

Beliau berkata, pada masa ini sebanyak 90 pesawat digunakan bagi memenuhi permintaan di Malaysia.

“Berdasarkan permintaan dan situasi semasa, mempunyai 90 pesawat lebih daripada cukup, sekurang-kurangnya untuk setahun lagi,” katanya.

Penumpang AirAsia menyumbang lebih satu perlapan daripada jumlah keseluruhan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Changi.

Sebelum pandemik, AirAsia menyumbang 51 peratus daripada keseluruhan kapasiti tempat duduk T4.

Perkhidmatan penerbangan ke T4 itu akan memberi peluang kepada AirAsia untuk menambah lebih banyak kekerapan bagi memenuhi permintaan yang kukuh serta membolehkannya kembali pulih sepenuhnya ke tahap kekerapan pra Covid-19 pada masa hadapan.

Penerbangan ke dan dari Singapura dikendalikan oleh empat syarikat penerbangan di bawah Kumpulan iaitu, AirAsia Malaysia (AK), AirAsia Indonesia (QZ), AirAsia Thailand (FD) dan AirAsia Filipina (Z2), menghubungkan 168 penerbangan setiap minggu ke 12 destinasi di seluruh ASEAN.

Kekerapan mingguan pada masa ini adalah kira-kira 60 peratus dan ia merancang untuk mengembalikan sehingga 96 peratus kekerapan menjelang akhir tahun ini.

Sempena meraikan penyambungan semula perkhidmatan penerbangannya di T4, AirAsia menawarkan penerbangan dari Singapura daripada hanya SG$1 ke pelbagai destinasi popular termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Miri, Bangkok dan Phuket.

Para tetamu juga boleh terbang melalui Kuala Lumpur dan Bangkok untuk menyambung perjalanan mereka ke destinasi yang menarik seperti Nha Trang, Kuala Terengganu, Chiang Mai, Trichy dan banyak lagi dengan tambang asas bermula daripada SG$38. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×