ACG sasar tembusi 10 peratus jualan LPG Malaysia

ACG sasar tembusi 10 peratus jualan LPG Malaysia

NIK Ahmad Fareez Nik Ahmad Azman bersama pengedar-pengedar ACGAS selepas merasmikan Pejabat Operasi ACGAS Wilayah Utara di Bukit Kayu Hitam hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Astana City Group Sdn. Bhd. (ACG) menyasarkan untuk menembusi 10 peratus daripada keseluruhan jualan 10 juta silinder pasaran gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara, untuk tempoh sebulan pada tahun depan.

Pengarah Urusan ACG, Nik Mohd. Fareez Nik Ahmad Azman berkata, keyakinan untuk mencapai sasaran itu bersandarkan kepada trend penjualan semasa yang meningkat, susulan pertambahan keyakinan pengguna terhadap LPG komposit keluaran mereka dikenali sebagai ACGAS kebelakangan ini.

Menurutnya, penjualan ACGAS pada tahun ini meningkat empat kali ganda berbanding tahun lalu yang melihat syarikat itu berdepan cabaran besar dalam memperkenalkan produk berkenaan kepada masyarakat di era pandemik.

“Produk ini dilancarkan pada 2020 dan sebaik dilancarkan, pandemik Covid-19 di seluruh dunia termasuk di negara ini kian memburuk hingga berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus membataskan usaha kami untuk memperkenal produk ini.

“Kami memperkenaL sesuatu yang baharu iaitu silinder LPG komposit dan masyarakat perlu dididik mengenai kelebihannya bagi meraih kepercayaan mereka. Ternyata, apabila kelonggaran diberikan kerajaan dan masyarakat mula faham kelebihan silinder LPG kami, jualan kami mula meningkat pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pejabat Operasi ACGAS Wilayah Utara di Taman Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini.

Pejabat tersebut merupakan yang pertama bagi syarikat tersebut di luar Lembah Klang, bagi menyelaras keperluan logistik serta beberapa perkara lain berkaitan penjualan gas tersebut di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara.

Menurut Nik Mohd. Fareez, ketika ini syarikat tersebut sudah pun menembusi kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan pasaran penjualan silinder LPG untuk tempoh sebulan di seluruh negara.

“Sebelum ini ada yang menganggap ACGAS hanya akan mendapat tempat dalam kalangan penduduk di bandar namun hakikatnya, penjualan ACGAS di utara tanah air termasuk di luar bandar cukup rancak ketika ini.

“Sebab itu kami menganggap pembukaan pejabat ini sebagai sesuatu yang penting buat syarikat. Setakat ini kami sudah menembusi 10 peratus daripada jumlah pasaran 200,000 silinder LPG sebulan di bahagian utara tanah air,” katanya.

Antara kelebihan silinder LPG komposit keluaran ACGAS yang menarik minat pengguna adalah, produk tersebut hampir 10 kilogram lebih ringan dalam kapasiti penuh berbanding silinder LPG besi yang sering digunakan ketika ini.

Selain itu, silinder LPG ACGAS tidak akan meletup termasuk ketika kebakaran, sekali gus memberi lebih nilai tambah kepada aspek keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×