Yamaha Tenere 700 – Model diinginkan oleh pasaran tempatan

Yamaha Tenere 700 – Model diinginkan oleh pasaran tempatan

YAMAHA Tenere 700 memenuhi kehendak penunggang yang gemarkan adventure. – UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBOLEHAN melayari internet kini menjadi satu perkara yang umum dan ia menjadikan pasaran lebih terbuka dan informasi menjadi tanpa sempadan. Jika dikaitkan fakta itu dengan motosikal yang ingin kami per­kenalkan untuk artikel minggu ini, Hong Leong Yamaha (HLY), selaku pengimpot dan pengedar motosikal berjenama Yamaha di Malaysia, ternyata harus berdepan dengan permintaan dan desakan daripada pasaran yang lebih terkini, lebih berpengetahuan dan lebih berinformasi.

Ia adalah salah satu daripada fenomena tersebut. Yamaha Tenere 700 ini mungkin bagi mereka yang tidak memiliki minat yang mendalam untuk jentera dua roda, gagal mengenal pasti apakah punca ‘viral’ tentang jentera itu. Namun, sejak berita kemunculannya pada penghujung 2021, peminat (dan tidak kurang juga penjual motosikal tempatan) terus-menerus menghujani pertanyaan demi pertanyaan tentang tarikh kewujudannya dalam pasaran tempatan.

PENGENALAN

Yamaha Tenere adalah satu unsur ‘jawab balas’ Yamaha kepada model Honda Africa Twin atau KTM Adventure 790. Menyedari peralihan minat para pencinta dua roda kini lebih banyak tertumpu kepada mo­del-model adventure iaitu model motosikal yang tampak seperti sebuah motosikal lasak off road, atau jenis dwi-guna. Yamaha Tenere mula diper­kenalkan pada awal 80an dan inspirasi rekaan dan kegunaannya adalah berlandaskan kepada kejohanan lumba lasak Paris-Dakkar. Pelbagai ke­upayaan kapasiti telah diperkenalkan sepanjang kewujudannya di pasaran dunia dan saya juga berpeluang menunggang model yang dipanggil super Ten iaitu dengan enjin berkapasiti 1200cc ketika eksplorasi di New Zealand pada 2018.

Ketika pengenalannya pada penghujung 2021, saya menjangkakan ia sebuah jentera yang berat dan sukar dikendalikan ketika di laluan off road. Saya juga menjangkakan ia tidak akan diketahui ‘kehadirannya’ dalam pasaran oleh peminat tempatan. Ternyata, hasil tunggang uji yang telah saya lakukan, ia bercanggah langsung sama ada dari segi pengendalian atau prestasi jentera, atau respon peminat terhadapnya.

TABUNG ekzos yang memberi bunyi padu tetapi tidak membingitkan. – UTUSAN/ANUAR NORICK

PENUNGGANGAN

Prestasi penunggangan jentera ini sudah tentu harus diukur di atas permukaan jalan raya konvensional, sama ada jalan raya persekutuan atau lebuh raya. Kebetulan saya berpeluang ke utara tanah air dan menggunakan peluang itu untuk menguji Tenere 700 secara total.

Menunggang di lebuh raya memang secara amnya memerlukan sebuah motosikal yang berkuasa dan stabil. Dari aspek penghantaran kuasa enjin, Tenere 700 bertindak cemerlang dalam kedudukan setiap gear. Kuasa tujahannya berfungsi dengan baik malah, jika anda dalam posisi gear ke-6 sekali pun, anda tidak berdepan de­ngan penghantaran kuasa yang tersekat atau tersenggut-senggut. Namun harus dinyatakan di sini, penunggangan di atas lebuh raya bukanlah satu kekuatan model ini. Rekaan dan berat motosikal (lebih sedikit daripada 200kg), ternyata membuat jentera membuai-buai ‘ditampar’ angin kencang terutama ketika melewati lori-lori besar. Begitu pun, prestasi jenteranya dalam penghasilan tahap kelajuan sangat-sangat memeranjatkan. Tenere 700 mampu mencecah kelajuan melebihi 200km/j atas laluan lurus (tertakluk kepada keberanian penunggang).

Tetapi apabila melalui jalan raya persekutuan atau lebih seronok lagi apabila melalui lorong-lorong ‘tikus’ atau kawasan pedalaman/hutan/denai/estate, di sinilah kekuatan pakej motosikal ini dapat dirasai. Sistem suspensi hadapan dan belakangnya ternyata berfungsi dengan cemerlang, menyerap segala hentakan yang diberikan, kestabilan jentera di laluan tidak rata serta, keupayaan pengendalian handle yang dirasakan mudah dan ‘ringan’. Keupayaan ini ditambah dengan penggunaan handle bar yang lebar dan ‘mengepak’ serta saiz rim hadapan sebesar 21 inci.

Meter digital penuh T-7 ini ternyata ditampilkan dengan rekaan feeling pengembaraan. Lengkap dengan informasi-informasi yang diperlukan untuk penunggangnya, akan tetapi saya gagal mendapatkan informasi sama ada meter boleh dipadankan dengan sistem navigasi atau telefon bimbit.

Meter ibarat alatan GPS.

Anda tidak dipersalahkan sekiranya menjangkakan jentera ini tidak mampu bersaing dengan jentera-jentera touring atau sports ketika melalui jalan raya-jalan raya berliku tajam. Tetapi, kestabilan yang diperolehi daripada sistem suspensi standard kilangnya, sangat-sangat mengujakan dan membolehkan anda mengambil selekoh-selekoh tersebut dengan efisien pada kelajuan yang tinggi.

Penggunaan tayar bercorak “off road” atau “rally” mungkin memberikan signal kepada penunggangnya yang motosikal ini tidak sesuai ‘dirempit’ atas jalan raya namun, tayar Pirelli Scorpion (depan: 90/90-21 dan belakang 150/70-18) yang dibekalkan sangat mencengkam pada apa juga keadaan permukaan jalan.

Rekaan lampu hadapan juga agak unik serta penggunaan lampu-lampu LED ternyata menepati keperluan pengguna. Kecerahan dan suluhan lampu unik Tenere 700 tidak langsung mengecewakan ketika malam menjelang.

KESIMPULAN

Jika anda telah membaca rebiu sehingga ke perkataan ini, anda sudah tentu mendapati saya belum lagi mengkritik mana-mana bahagian atau prestasi motosikal. Agak sukar mencari kelemahan pada sesuatu yang ‘sempurna’. Jika ada pun, bahagian-bahagian motosikal yang ingin saya kritik, saya mungkin akan menyenaraikan pelananya. Pelana agak dilengkapi span yang mencukupi untuk model seumpama ini dan membantu dalam penyerapan hentakan dan goncangan ketika melalui laluan denai-denai ‘off road’. Akan tetapi, selepas penunggangan atas lebuh raya melebihi satu jam, punggung anda mula berasa tidak selesa dan kebas. Sekali lagi ingin dinyatakan, model ini bukanlah direka untuk ‘touring’ atau perjalanan jarak jauh, tetapi sekiranya terpaksa, anda mungkin harus lebih kerap berhenti rehat sepanjang perjalanan.

BREK belakang juga dibekalkan dengan ABS.

Tenere 700 menarik perhatian ramai. Di mana sahaja saya berada, ia mampu menarik perhatian semua golongan. Rekaan kosmetiknya membuatkan peminat perlumbaan lasak teruja, kanak-kanak mula berimaginasi dan mengkaitkan rekaan fizikal motor ini dengan motor “kamen rider”, dan bagi mereka yang mungkin ‘tidak cukup’ ketinggian, merasakan ralat kerana Tenere 700 pasti membuatkan kaki ‘spesis’ ini tidak mampu mencapai ‘bumi’.

Pengimpot dan pengedar jenama Yamaha di Malaysia bakal berdepan dengan keluhan dan desakan yang lebih kuat/banyak lagi selepas artikel ini tersiar. Ia berdasarkan pertanyaan daripada orang awam ketika saya menampilkan foto dalam laman sosial milik saya sebelum ini, dan kebanyakan soalan atau statemen yang diajukan adalah “T-7 sudah dijual di Malaysia?”

Di Thailand, ia dijual pada harga sekitar RM58,000 dan di Filipina dikatakan dijual pada RM52,000. Sekiranya HLY memasarkannya di pasaran tempatan, ia dipercayai dijual pada harga tidak kurang RM50,000. HLY mungkin inginkan lebih banyak kajian dalaman dilakukan oleh pihak pengurusannya kerana kekangan klasifikasi lesen, harga cukai jalan yang tidak kompetitif, serta kemampuan rakyat Malaysia. Atau mungkin HLY sedang berusaha untuk menampilkan model yang lebih relevan pada pasaran tempatan atau Asia Tenggara, iaitu Tenere 250?

Jangan berhenti berdoa… – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN