PETALING JAYA: Untung bersih UOA Development Berhad turun sebanyak 16.6 peratus kepada RM45.3 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM54.35 juta tempoh sama tahun lalu.
Menurut syarikat tersebut, penurunan itu disebabkan hasil jualan yang rendah bagi projek sedia ada.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, hasil Kumpulan juga berkurangan kepada RM12.11 juta daripada RM216.28 juta pada suku sama tahun lalu.
“Kumpulan juga merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minorit (PATAMI) bagi suku di bawah penilaian sebanyak RM45.3 juta berbanding RM54.4 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
“Hasil dan keuntungan bagi suku dalam penilaian adalah hasil pengiktirafan progresif projek pembangunana yang sedang berjalan iaitu The Goodwood Residence, Aster Green Residence dan Laurel Residence,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi itu juga disumbangkan daripada jualan inventori daripada United Point Residence, Sentul Point Suite Apartments dan Pangsapuri gaya hidup South Link.
Jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 Jun 2022 berjumlah kira-kira RM250.9 juta daripada Laurel Residence, The Goodwood Residence dan United Point Residence manakala jumlah jualan direkodkan berjumlah kira-kira RM123.9 juta.
“Kumpulan akan terus meneroka pembangunan strategik yang memenuhi objektif Kumpulan,” katanya. – UTUSAN










