Untung bersih Matrix Concept melonjak 51.6 peratus

Untung bersih Matrix Concept melonjak 51.6 peratus

MOHAMAD HASLAH MOHAMAD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) memulakan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dengan kukuh apabila keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 melonjak 51.6 peratus kepada RM46.2 juta daripada RM30.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil kumpulan turut melonjak 40.3 peratus kepada RM229.3 juta daripada RM163.4 juta tahun lepas.

Prestasi yang lebih baik itu didorong peningkatan ketara dalam sumbangan hasil daripada hartanah kediaman dan komersial kumpulan, terutamanya daripada Sendayan Developments serta jualan hartanah perindustrian di Sendayan TechValley.

Kumpulan juga mencatatkan jualan hartanah baharu yang sihat sebanyak RM309.2 juta pada suku pertama 2023, meningkat 2.7 peratus daripada RM300.9 juta sebelumnya.

Permintaan untuk produk premium mampu milik kumpulan kekal kukuh walaupun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) ditamatkan, selain peningkatan kadar faedah, serta persekitaran mencabar yang dihadapi oleh sektor pembangunan hartanah.

Tiga projek kediaman terbaharu kumpulan di Sendayan Developments iaitu Aluna @ Nusari Aman, Lyra @ Bayu Sutera, dan Celia @ Tiara Sendayan, yang terdiri daripada 490 unit rumah teres dua tingkat dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM281.7 juta telah mencapai kadar pengambilan tinggi sebanyak 99 peratus secara purata pada 31 Julai 2022.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, peningkatan menyeluruh dalam prestasi suku yang dilaporkan menunjukkan prospek pertumbuhan yang positif, walaupun daripada kesan asas yang rendah pada suku pertama 2022 yang terjejas akibat pandemik.

Ujarnya, pertumbuhan ini dicapai di tengah-tengah pengiktirafan hasil yang lebih perlahan daripada jangkaan disebabkan kesan kekurangan buruh terhadap kemajuan projek serta tekanan inflasi ke atas harga bahan mentah.

“Kami telah mengurangkan kesan kekurangan bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan, selain dalam proses mempercepatkan pengambilan pekerja asing untuk menyelesaikan cabaran kekurangan pekerja. Dalam pada itu, kami juga telah menggunakan penempatan tenaga kerja serta kaedah pembinaan yang lebih cekap.

“Melangkah ke hadapan, kami optimis dengan penambahbaikan selanjutnya pada suku akan datang berdasarkan permintaan kukuh yang berterusan untuk produk kami dan margin yang sihat. Kami bersedia untuk mengubah strategi pertahanan yang diguna pakai sejak permulaan wabak kepada pendirian yang lebih progresif,” katanya dalam kenyataan.

Pertumbuhan hasil pada suku pertama 2023 diterajui oleh peningkatan 32.5 peratus dalam sumbangan daripada hartanah kediaman dan komersial kepada RM201.9 juta daripada RM152.4 juta pada suku sama tahun lalu, di samping peningkatan 451.7 peratus dalam sumbangan daripada jualan hartanah perindustrian kepada RM17.5 juta berbanding RM3.2 juta.

Selain itu, segmen hartanah pelaburan merekodkan pendapatan 25.6 peratus lebih tinggi sebanyak RM9.9 juta daripada RM7.9 juta setahun lalu.

Tambah Mohamad Haslah, untuk terus memenuhi permintaan kukuh, pihaknya telah melancarkan projek bernilai lebih RM1.5 bilion di seluruh Seremban, Johor dan Lembah Klang pada tahun kewangan 2023.

“Projek-projek ini disesuaikan dengan keperluan pembeli sasaran kami bagi hartanah mampu milik tetapi premium, yang telah diterima baik setakat ini, dan terus menyokong strategi pelancaran kami,” ujarnya.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2023, dengan tarikh akhir pada 14 September 2022 dan tarikh pembayaran pada 6 Oktober 2022, mewakili jumlah pembayaran dividen sebanyak RM25.0 juta atau 54.2 peratus daripada PAT suku pertama 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×