UEM Edgenta catat untung bersih RM20.2 juta separuh pertama 2022 - Utusan Malaysia

UEM Edgenta catat untung bersih RM20.2 juta separuh pertama 2022

Ketua Pegawai Kewangan UEM Edgenta, Hilary Chua; Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin dan Ketua, Strategi Korporat UEM Edgenta, Lim Su San membincangkan strategi dan pandangan syarikat semasa sesi Analyst and Media Briefing yang diadakan di Menara UEM semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.2 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2022, berbanding RM14.4 juta yang diperoleh dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan kumpulan turut meningkat kepada RM1.2 bilion dalam tempoh dikaji berbanding RM1.0 bilion tahun lalu, dengan peningkatan pendapatan tahun ke tahun sebanyak 14.2 peratus.

Keuntungan bersih yang dinormalisasi meningkat sebanyak 65.5 peratus tahun ketahun, daripada RM16.7 juta pada tahun lalu kepada RM27.6 pada separuh pertama 2022.

Pendapatan syarikat pada suku kedua 2022 meningkat kepada RM627.7 juta berbanding RM539.2 juta pada suku sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 16.4 peratus, manakala keuntungan bersih bagi suku tersebut meningkat sebanyak 15.8 peratus daripada RM9.4 juta kepada RM10.8 juta.

Pertumbuhan pendapatan bagi tahun ke tahun dan suku ke suku didorong terutamanya oleh pemulihan ekonomi pasca pandemik, dengan permintaan yang tinggi terhadap kerja-kerja penyelenggaraan di lebuh raya dan kontrak baharu diraih oleh bahagian penjagaan kesihatan.

Peningkatan prestasi kewangan ini adalah bukti asas perniagaan pragmatik syarikat melalui portfolionya yang pelbagai dan penyelesaian berdaya teknologi yang mampan merentasi seluruh kumpulan. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, walaupun trajektori pertumbuhan jangka panjang kumpulan kekal kukuh di tengah-tengah pemulihan ekonomi yang lebih teguh, pihak pengurusan optimis dengan berhati-hati mengenai prospek tahun ini memandangkan ketidaktentuan yang disebabkan oleh kelembapan ekonomi global, gangguan rantaian bekalan, tekanan inflasi dan kenaikan gaji minimum di Malaysia.

“Syarikat akan terus berhati-hati dan cermat dalam menguruskan kos operasi, sementara kami terus mengembangkan jejak kami dalam pasaran pertumbuhan tinggi, terutamanya di Timur Tengah.

“Kami menjangkakan untuk meraih dan memanfaatkan perkongsian baharu dalam masa terdekat, membawa portfolio Program Kemampanan, Penyelesaian Digital dan Teknologi kami ke pasaran berpandukan visi Edgenta of the Future 2025 (EoTF 2025) untuk menjadi syarikat penyelesaian berdaya teknologi dengan tumpuan pada penjagaan kesihatan menjelang 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN