TEL AVIV: Tentera Israel pada Ahad mengeluarkan amaran pemindahan segera kepada penduduk Iran yang tinggal berhampiran kemudahan pengeluaran senjata, susulan kebimbangan kemungkinan serangan lanjut akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF) bagi bahasa Arab, Kolonel Avichay Adraee, dalam kenyataan yang disiarkan di platform X dalam bahasa Farsi, menegaskan bahawa kehadiran orang awam di kawasan tersebut boleh mengancam nyawa mereka.
“Demi keselamatan anda, sila tinggalkan kawasan berhampiran kemudahan ini serta-merta dan jangan kembali sehingga diberitahu kelak,” katanya sambil menambah bahawa amaran itu turut merangkumi kawasan yang menyokong aktiviti pengeluaran senjata di Iran.
Langkah itu dilihat sebagai isyarat bahawa Israel mungkin akan meneruskan serangan terhadap sasaran berkaitan ketenteraan di Iran, selepas beberapa siri serangan udara dilancarkan sejak Jumaat lalu yang menyasarkan tapak nuklear dan ketenteraan, termasuk Kementerian Pertahanan Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu ucapan video pada Sabtu, memberi amaran bahawa rejim itu akan menyerang setiap tapak dan sasaran Iran sekiranya ancaman terhadap Israel berterusan.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dilaporkan berkata bahawa Tehran akan menghentikan serangan balas sekiranya Israel menghentikan serangan ke atas wilayahnya.
Namun, ketegangan terus memuncak apabila letupan baharu dilaporkan berlaku di Tehran dan beberapa kawasan lain di Iran awal pagi Ahad.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 78 orang dilaporkan terkorban dan lebih 320 cedera di Iran, manakala di Israel, 10 maut termasuk dua kanak-kanak dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran sejak Sabtu malam.
Lapangan terbang utama Israel kekal ditutup untuk hari ketiga berturut-turut, manakala usaha diplomatik oleh Jerman, Perancis dan United Kingdom untuk memulakan rundingan semula mengenai program nuklear Iran dilaporkan tergendala.










