PETALING JAYA: TCS Group Holdings Bhd., menerusi anak syarikat milik penuhnya, TCS Construction Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak untuk membangunkan Hotel Moxy Putrajaya, di IOI City Resort, Sepang bernilai kira-kira RM108.37 juta.
Menurut kenyataannya di Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut telah memenangi kontrak pembinaan satu blok bangunan utama hotel 19 tingkat tersebut daripada IOI City Hotel Sdn. Bhd.
IOI City ialah anak syarikat milik penuh tidak langsung IOI Properties Group Bhd.
Terletak dalam perbandaran bersepadu IOI Resort City di Putrajaya, Hotel Moxy Putrajaya akan dihubungkan terus dengan IOI City Mall dan diuruskan oleh Marriott International Inc.
“Tempoh kontrak ialah 16 bulan, bermula 1 September 2022, dengan kerja akan disiapkan pada 31 Disember 2023.
“Pembangunan tersebut akan melibatkan satu blok hotel 19 tingkat yang mengandungi 495 bilik dan kemudahan asas,” katanya kenyataan tersebut.
Tambahnya, kontrak tersebut tidak akan memberi kesan ke atas modal saham yang diterbitkan dan pegangan pemegang saham besar TCS.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih TCS untuk tempoh kontrak.
“Kumpulan bercadang untuk membiayai kontrak ini melalui dana atau pinjaman yang dijana secara dalaman,” ujarnya. – UTUSAN










