KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi anak syarikatnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (GenCo) merancang menamatkan operasi loji janakuasa arang batu terutama Kapar Energy Ventures (KEV) seawal 2029.
Ia membolehkan TNB mempercepatkan proses peralihan kepada tenaga bersih yang mempunyai pasaran bernilai RM80 bilion menjelang 2050.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, syarikat dijangka meraih RM40 bilion menjelang 2050 hasil daripada transisi tenaga di pasaran domestik kepada tenaga lebih bersih.
Katanya, peralihan tersebut bakal dilaksanakan menerusi tiga strategi utama iaitu penghentian operasi pusat jana kuasa arang batu lebih awal menukarkannya kepada penggunaan sumber tenaga lebih bersih seperti gas dan hidrogen serta membina kerjasama strategik dengan rakan kongsi teknologi.
“Kami berharap untuk bermula dengan Kapar Energy Ventures, dengan meneroka daya maju untuk menghentikan pusat jana kuasa arang batu berkapasiti 1,400 megawatt itu sehingga setahun lebih awal dari tarikh luput perjanjian pembelian tenaga (PPA), tertakluk kelulusan pihak berkuasa.
“Baru-baru ini, syarikat menerima surat niat untuk memulakan semula operasi pusat jana kuasa di Paka menggunakan gas asli, yang mana kami berhasrat untuk mempersiapkannya bagi menyokong penggunaan hidrogen menjelang 2029,” katanya pada sesi bersama media berhubung agenda kelestarian TNB di sini, semalam.
Baharin memberitahu, peralihan tersebut akan meningkatkan nilai perusahaan dan kemampanan GenCo dan pihaknya terbuka kepada kemungkinan untuk menyenaraikan syarikat ini sekiranya berpeluang.
Beliau berkata, Bahagian Tenaga Baharu (NED) TNB pula merancang untuk meningkatkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) syarikat termasuk di pasaran asing, merentasi rantau Asia Pasifik dan Eropah.
Menurutnya, selain pasaran sedia ada TNB di United Kingdom, Thailand, Filipina dan Vietnam, pasaran tumpuan baharu ialah Sepanyol, Ireland dan Perancis di Eropah, manakala Australia, Taiwan dan Korea Selatan di Asia.
“TNB menyasarkan pemasangan kapasiti RE sebanyak 14.3 gigawatt menjelang tahun 2050, daripada 0.7 gigawatt pada 2022.
“Ini melibatkan jumlah ekuiti kira-kira AS$1.5 bilion (RM6.68 bilion). Kami tidak melibat ada masalah dari segi dana kerana banyak pihak berminat untuk membiayai projek seperti ini. Kami juga terbuka untuk menerbitkan sukuk,” ujarnya. – UTUSAN









