Syarikat penerbangan, industri pelancongan digalak bekerjasama

Syarikat penerbangan, pemain industri pelancongan digalakkan bentuk kerjasama

PELAWAT merakamkan pemandangan Pulau Pinang dari Bukit Bendera, lokasi tarikan pelancongan di negeri itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Syarikat penerbangan digalakkan untuk membentuk perkongsian kerjasama pemasaran dengan pihak hotel, agensi pelancongan dan pemain industri lain di Pulau Pinang bagi mempercepat pemulihan sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, kerjasama seperti itu akan membantu syarikat penerbangan meneruskan matlamat utama mereka untuk menghubungkan dunia dengan Pulau Pinang serta membantu merancakkan lagi sektor pelancongan negeri ini.

”Kerjasama dalam bidang pemasaran antara syarikat penerbangan dengan pemain industri pelancongan di negeri ini amat digalakkan kerana kita mahu sektor pelancongan segera pulih.

”Ia juga dapat membantu industri penerbangan untuk pulih selepas terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) antara AirAsia dan Penang Global Tourism (PGT) di sini, semalam.

Menurut Soon Hin, kerjasama itu juga dapat membolehkan syarikat penerbangan meneroka dan membantu mewujudkan rangkaian laluan udara baharu antara Pulau Pinang dan lokasi-lokasi lain termasuk di luar negara.

”Ia menjadikan Pulau Pinang lebih mudah diakses menerusi laluan udara dan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini

“Saya gembira mengumumkan bahawa jumlah ketibaan penumpang ke Pulau Pinang telah meningkat 287 peratus dari Januari hingga Jun.

”Berdasarkan unjuran aliran trafik udara akan kembali pulih secara sepenuhnya seperti sebelum pandemik Covid-19 menjelang 2023 atau 2024,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berharap beberapa laluan antarabangsa seperti Pulau Pinang- Chengdu dapat dibuka semula bagi membolehkan pelancong asing kembali ke Pulau Pinang.

”Terdapat beberapa laluan udara antarabangsa ditutup kerana situasi Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.

”Kita berharap, laluan-laluan udara antarabangsa yang amat signifikan seperti Pulau Pinang-Chengdu dapat kembali dibuka dalam tempoh terdekat bagi kemudahan industri pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN