PETALING JAYA: Pembangunan township S P Setia, Setia Alamsari di Kajang, dekat sini mencatat 90 peratus kadar pengambilan untuk Emporia, hartanah komersial pertama di perbandaran itu dalam masa sehari selepas pelancarannya pada 6 Ogos lalu.
Terdiri daripada 30 unit pejabat kedai dua tingkat yang luas, lot Emporia mempunyai tanah dengan saiz dari 22×75 kaki dan binaan seluas 3,208 kaki persegi hingga 6,646 kaki persegi, dijual dengan harga antara RM1.57 juta hingga RM3.71 juta seunit.
Emporia dijangka siap pada suku ketiga 2025 dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM60.2 juta.
Pengurus Besar Setia Alamsari, Soh Wai Fong berkata, sebagai hab komersial, Emporia bukan sahaja akan menambah kemeriahan kepada perbandaran dan menyediakan kemudahan kepada penduduk, tetapi juga memaksimumkan peluang perniagaan dalam kawasan Kajang yang semakin matang apabila lebih ramai penduduk berpindah masuk.
“Ia juga dijangka menarik pengunjung dari sekitar Semenyih dan Bangi dengan jarak penglihatan yang tinggi menghadap jalan lingkar utama.
“Emporia akan memberi perkhidmatan kepada lebih 8,500 penduduk di Setia Alamsari menjelang 2025, serta lebih 240,700 daripada mereka yang tinggal di kawasan kejiranan berpenduduk sekitar dalam jarak 8 kilometer (km) persegi di Semenyih, Bandar Baru Bangi, Bangi Avenue, Bandar Seri Putra, Lambaian Residence, Serene Heights dan Southville City,” katanya.
Setia Alamsari meliputi kawasan tanah pegangan bebas seluas 775 ekar di Kajang, Selangor dengan jumlah GDV berjumlah RM5.1 bilion.
Pembangunan kediamannya dengan konsep reka bentuk tropika menawarkan rumah superlink, semi-D bersambung dan banglo.
Menyokong kesejahteraan penduduknya, Setia Alamsari mempunyai landskap yang mempunyai lapan taman dalam kawasan perbandaran. Taman Terusan seluas 11.3 ekar dengan tiga tasik yang menghubungkan adalah satu-satunya taman dengan ciri air pancut yang memberi manfaat kepada hidupan akuatik.
Dengan stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berdekatan, perbandaran ini menikmati sambungan ke lebuh raya utama termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Kajang Dispersal Link Expressway (SILK), memberikan akses yang lebih baik ke pusat bandar.
Perbandaran ini juga berhampiran kemudahan perubatan seperti Hospital Kajang, Hospital Pakar KPJ Kajang dan institusi pengajian tinggi German-Malaysian Institute (GMI) dan UKM. – UTUSAN










