PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$110.9 bilion (RM497.16 bilion) pada 15 Ogos 2022, meningkat berbanding AS$109.2 bilion (RM489.54 bilion) yang dilaporkan setakat 29 Julai lalu.
Jumlah tersebut memadai untuk membiayai sehingga 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Bank pusat berkata, komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$98.5 bilion/RM441.58 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.3 bilion/RM5.83 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion/RM25.55 bilion), emas (AS$2.3 bilion/RM10.31 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion/RM 13.90 bilion).
Aset itu merangkumi emas, pertukaran mata wang asing dan dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM488.47 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.12 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.62 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan aset lain (RM33.61 bilion).
Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM168.77 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.37 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM173.77 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM10.22 bilion), deposit lain (RM12.32 bilion), kertas Bank Negara (RM7.42 bilion), peruntukan SDR (RM28.25 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.73 bilion). – UTUSAN










