Ringgit diunjur kekal lemah berbanding dolar AS

Ringgit diunjur kekal lemah berbanding dolar AS

PRESTASI ringgit turun naik didorong oleh persekitaran global terutama ekonomi Amerika Syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit diunjur kekal lemah berbanding dollar Amerika Syarikat (AS) sekitar RM4.45 ke atas disebabkan situasi ekonomi AS yang menuju ke arah kemelesetan.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, keadaan itu menyebabkan kemungkinan kadar faedah di AS dinaikkan sekali lagi.

“Sementara itu Indeks KLCI akan meneruskan pemulihan sekitar 1,500 mata berdasarkan sentimen pembelian terutamanya dari pelabur asing.

“Jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ke-2 2022 kekal positif, sekitar 5 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam masa terdekat berikutan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) AS menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 mata peratusan pada Rabu lalu.

Jangkaan itu berdasarkan tindakan yang sama ambil BNM sebelum ini apabila Fed menaikkan kadar faedah.

Malah, pakar ekonomi menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak dua kali lagi menjelang hujung tahun ini iaitu masing-masing pada 25 mata asas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid percaya OPR akan dinaikkan lebih awal daripada yang dijangkakan iaitu pada sekitar 25 mata asas bagi mengawal aliran modal serta mengalakkan inflasi.

Katanya, peningkatan kadar faedah di oleh Fed akan menyebabkan berlaku pengaliran wang ke Amerika Syarikat (AS) yang sekali gus akan mengukuhkan mata wang dolar dan mendorong kepada kejatuhan ringgit.

“Jadi bagi mengimbangi perkara itu, maka OPR akan dinaikkan kerana bimbang akan berlaku pengukuhan dolar AS.

“Selain itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus baru-baru ini juga ada memberitahu bahawa negara akan menaikkan OPR bagi mengawal inflasi. Jadi faktor-faktor ini adalah bayangan bahawa OPR akan dinaikan,” katanya.

Sementara itu, Baharom berkata, kenaikan tersebut perlu bagi mengawal inflasi akibat penawaran wang yang tinggi dalam pasaran.

Menurutnya, tindakan tersebut akan mendorong orang ramai kurang membuat pinjaman tidak perlu seperti pinjaman peribadi di beberapa buah institusi kewangan dalam masa yang sama.

“Apabila kadar OPR rendah, ramai yang akan buat pinjaman seperti membeli kereta baharu yang ketika ini mempunyai tempahan sangat tinggi. Kenaikan OPR dapat mengawal orang daripada berbelanja mewah dan yang tidak perlu.

“Tidak dinafikan peningkatan OPR ini akan memberi kesan kepada pengguna dan syarikat yang mempunyai pinjaman. Bagi mereka yang mempunyai pinjaman kereta dan rumah peningkatan mungkin sekadar RM100 hingga RM300 sebulan bergantung kepada jumlah dan baki pinjaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN