PV Solar: Proton, Pekat jalin kerjasama

PV Solar: Proton, Pekat jalin kerjasama

ROSLAN Abdullah (kiri) pada majlis pemeteraian kerjasama antara Proton dan Pekat di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar solar fotovoltaik (PV) dan Pelindung Pembumian dan Petir (ELP), Pekat Group Berhad (Pekat) menjalin kerjasama dengan Proton Holdings Bhd. (Proton) untuk mempromosikan penggunaan sistem PV solar dalam ekosistem dan pekerjanya sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian tenaga pengeluar kereta nasional tersebut.

Memorandum persefahaman (MoU) tersebut telah dimeterai antara anak syarikat solar Pekat, Solaroo Systems Sdn. Bhd. (Solaroo) dan Proton Global Services Sdn. Bhd. (PGS), anak syarikat milik penuh Proton Edar Sdn. Bhd. (Proton Edar).

Perkongsian itu adalah hasil kejayaan Pekat melancarkan sistem PV solar bersambung grid 12 megawatt-peak (MWp) di kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim, Perak, Sekali gus membantu Proton dengan pengurangan jejak karbon dan kos tenaga sejak Mac lalu.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Proton secara aktif mempromosikan penggunaan sistem PV solar yang disediakan oleh pembekal industri itu termasuk Solaroo dengan menunjukkan penjimatan yang boleh dijana dan faedah yang dibawanya kepada alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, perkongsian di antara PGS dan Solaroo menandakan permulaan fasa seterusnya dalam perjalanan Proton ke arah penggunaan tenaga hijau yang lebih holistik.

“Kerjasama ini sejajar dengan kos tenaga yang masih meningkat, ditambah pula dengan dorongan berterusan dalam kalangan pemegang taruh yang prihatin terhadap karbon untuk mengekalkan kelestarian.

“Berikutan pelaburan kami dalam teknologi tenaga baharu di Tanjung Malim, kami berharap dapat mengamalkan lebih banyak langkah penjimatan tenaga di seluruh ekosistem selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Solaroo, Johann Sze berkata, pihaknya berbangga dapat meneruskan perjalanan PV solar syarikat dengan Proton dan menyediakan penyelesaian karbon rendah terbaik untuk rakan kongsinya itu dalam hubungan perniagaan jangka panjang yang saling menguntungkan.

“Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami, kerjasama ini akan menambah rekod prestasi Solaroo dalam segmen komersial dan perindustrian.

“Dengan kenaikan tarif elektrik yang tidak dapat dielakkan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah berharga dalam ekonomi hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, aset PV solar seluas 9.3 hektar yang bernilai RM33.1 juta milik Pekat di kilang Proton di Tanjung Malim berpotensi memberikan penjimatan tenaga tahunan sebanyak RM5.85 juta untuk pengeluar kereta tersebut dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 11,536 tan setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN