Pulau Pinang catat pelaburan tertinggi RM76.2 bilion

Pulau Pinang catat pelaburan tertinggi RM76.2 bilion

ABDUL HALIM Hussain (dua, kanan) ketika melancarkan Majlis Pra Pelancaran Kempen Keusahawanan Satu Budaya Pulau Pinang 2022-2030 di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sektor pembuatan Pulau Pinang mencatatkan pelaburan tertinggi sebanyak RM76.2 billion tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, setakat ini sektor semikonduktor iaitu elektrik dan elektronik kekal menjadi sektor penting yang menjadi kekuatan ekonomi di Pulau Pinang sehingga kini.

“Bagaimanapun kerajaan ne­geri akan turut memberi perhatian kepada sektor pembuatan yang bukan semikonduktor se­perti peralatan perubatan, pertahanan, aeroangkasa dan sektor bukan pembuatan seperti sektor perkhid­matan dan lain-lain.

“Kerajaan negeri setakat ini berpuas hati dengan pencapaian ekonomi Pulau Pinang dengan sektor pembuatan menca­tatkan pelaburan tertinggi dari dalam dan luar negara iaitu sebanyak RM76.2 billion pada tahun 2021, tertinggi dalam rekod,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pra Pelancaran Kempen Keusahawanan Satu Budaya Pulau Pinang 2022-2030 di sini, semalam.

Menurut Abdul Halim, sektor pengeluaran dan pembuatan makanan merupakan sektor pen­ting yang perlu diteroka oleh para usahawan di Pulau Pinang agar negeri itu mampu menjadi ne­geri yang berdikari dalam sektor berkenaan.

‘’Kita juga akan memberi fokus kepada sektor pengeluaran makanan bagi memastikan tahap keselamatan makanan di Pulau Pinang berada pada paras tinggi,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena Kempen Keusahawanan Satu Budaya Pulau Pinang 2022-2030, kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan 100,000 usahawan dalam tempoh 2022 hingga 2030 bagi menaik taraf ekonomi serta meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat negeri itu.

“Fokus kempen ialah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi negara termasuk Pulau Pinang,” katanya.

Beliau menambah, kempen itu akan berlangsung selama setahun bermula hari ini sehingga 30 Jun 2023 dan dicadangkan dilanjutkan sehingga 2030.

Tambahnya, untuk menjayakan kempen itu sejumlah RM500,000 peruntukan awal telah disediakan dengan RM50,000 untuk lima Pejabat Daerah di Pulau Pinang bagi tujuan kempen di peringkat daerah.

“Sebanyak RM100,000 pula diperuntukkan untuk program bersama Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menggerakkan program bersama penuntut dan komuniti usahawan manakala selebihnya untuk program bersama agensi negeri dan pusat, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN