JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan yakin Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mampu mengekalkan prestasi tahun lalu dengan mengendalikan 11.2 juta TEU.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, sasaran itu boleh dicapai meskipun terkesan ekoran perang Ukraine-Rusia yang berlarutan ketika ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan PTP sebagai salah sebuah daripada 20 pelabuhan tersibuk di dunia.
“Berdasarkan prestasi PTP setakat semalam, pelabuhan itu telah mengendalikan 6.89 juta TEU yang dijangka menjangkau 7 juta TEU pada hujung bulan ini.
“Melihat dari segi trend, penghantaran kontena meningkat pada empat bulan terakhir disebabkan musim perayaan seperti Krismas. Maka kita yakin mampu mencapai prestasi 11.2 juta TEU seperti pada tahun lalu.
“Saya meletakkan sasaran itu untuk dipenuhi, sekali gus membuktikan kemampuan PTP yang menunjukkan peningkatan ketika kebanyakan pelabuhan dunia lain terkesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Cares Keluarga Malaysia, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal dan Pengurus Besarnya, Kamaruzaman Munasir.
Pada tahun lalu, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU dengan nilai pertumbuhan 14 peratus, berbanding 9.8 juta TEU pada tahun sebelumnya.
Pencapaian itu meletakkan PTP pada kedudukan ke-15 daripada senarai 20 pelabuhan terbaik dunia dengan merekodkan pertumbuhan 1.4 juta TEU.
Ka Siong memberitahu, sektor pelabuhan global pada tahun ini terjejas akibat perang Ukraine-Rusia dengan sebilangan pelabuhan tidak mengambil barangan tertentu.
Keadaan itu mengganggu kelancaran penghantaran kargo, sekali gus menjejaskan aktiviti di pelabuhan dunia yang tidak seperti tahun lalu yang turut dirasai pelabuhan-pelabuhan di negara ini.
“Walaupun pelabuhan dunia terkesan akibat perang Ukraine-Rusia ini, saya mahu kita mampu menunjukkan prestasi positif. PTP khususnya, sebagai pelabuhan ‘transhipment’ paling utama di rantau ini perlu kekal berdaya saing kerana kedudukannya yang strategik serta kecekapan dalam mengendalikan apa juga kontena,” katanya.
Sejak ditubuhkan, PTP telah berjaya mengendalikan lebih 148 juta TEU manakala Pelabuhan Pasir Gudang yang menjadi hab penyimpanan minyak kelapa sawit terbesar dunia mengendalikan 21 juta TEU. – UTUSAN










