Proton X50 model terlaris bulan Julai - Utusan Malaysia

Proton X50 model terlaris bulan Julai

PROTON X50 terus mendapat permintaan tinggi daripada pembeli. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton mencipta sejarah apabila Proton X50 mencatat rekod jumlah jualan bulanan baharu dan merangkul gelaran kenderaan terlaris di Malaysia bagi bulan Julai 2022 dengan sebanyak 11,477 unit terjual bagi pasaran domestik dan eksport.

Pencapaian itu memastikan Proton mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sedang dipertandingkan dengan hangat dan ia juga kali pertama kenderaan sedemikian telah mendahului pasaran keseluruhan dalam jumlah jualan.

Ia didorong usaha kejayaan syarikat untuk menyelesaikan isu kekurangan komponen namun  Proton dalam satu kenyataan memberitahu, usaha itu telah terjejas sementara menunggu kelulusan harga daripada pihak berkuasa untuk beberapa modelnya.

Menurutnya, jualan keseluruhan untuk tahun ini kini berada pada 71,601 unit, peningkatan sebanyak 19.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Proton juga mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7 peratus  bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7 peratus .

“Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun.

“Eksport bagi 2022 telah meningkat kepada 3,102 unit dan ini melepasi 3,018 unit jualan eksport bagi keseluruhan tahun lepas.

“Proton Saga, Proton X70 dan Proton X50 kekal sebagai model eksport utama dengan Proton X50 mencapai jualan eksport tertinggi baharu sebanyak 126 unit,” menurut kenyataan. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, pencapaian itu dan kelarisan jualan Proton dalam segmen lain menunjukkan rancangan perniagaan kami berada di landasan yang betul dan membalas keyakinan yang diletakkan pada jenama oleh pembeli, pelabur dan pihak berkepentingan lain.

“Pelonggaran sekatan perdagangan global telah menjadi rangsangan besar bagi jabatan eksport Proton.

“Dengan baki lima bulan lagi, kami menyasarkan tahun ini menunjukkan pertumbuhan peratusan dua angka, walaupun kami peka dengan isu ekonomi yang dihadapi di pasaran luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya