Proton, Smart keluar kereta elektrik tahun depan

Proton, Smart keluar kereta elektrik tahun depan

MODEL kenderaan elektrik yang bakal dibangunkan oleh Proton dengan kerjasama syarikat Jerman, Smart. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) bersedia memasuki fasa baharu pengeluaran kenderaan elektrik (EV) serta menyasarkan pasaran tempatan dan Thailand sebagai peringkat permulaan.

Justeru, Proton menjalin kerjasama dengan pengeluar kenderaan dari Jerman, Smart Automobile Co. Ltd (Smart) untuk menghasilkan EV bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, keputusan mengeluarkan kenderaan EV itu dibuat setelah melihat trend pembelian kenderaan jenis tersebut semakin popular di seluruh dunia.

“Dengan menceburi bidang ini, kami dapat mempelajari teknologi untuk membina kenderaan EV serta stesen pengecasan bateri.

“Ini sekaligus dapat mengikut saranan kerajaan yang mensasarkan pengurangan penghasilkan gas karbon di Malaysia menjelang tahun 2050,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Pengedaran Am (GDA) antara Proton dengan smart di Pusat Kecemerlangan Proton di sini, semalam.

SYED Faisal Albar Syed Ali Rethaza Albar (kanan) bersama CEO Proton, Dr. Li Chunrong (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengedaran Am antara Proton dan Smart yang diwakili Roslan Abdullah (tengah) di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/AFIZ RAZALI

Proton yang diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Roslan Abdullah dan CEO smart, Tong Xiangbei menandatangani dokumen GDA itu.

Syed Faisal berkata, Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Perak yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada April lalu akan menjadi hab bagi membina kenderaan elektrik.

Sementara itu, Roslan berkata, rakyat Malaysia perlu menunggu sehingga suku keempat tahun hadapan untuk kereta EV pertama keluaran tempatan atas nama Smart.

“Namun, kami jangka rakyat Malaysia boleh melihat ilustrasi awal reka bentuk kereta itu pada Mei tahun hadapan.

“Buat permulaan, kita sasarkan untuk menghasilkan 800 hingga 1,000 unit kereta EV setahun bagi pasaran tempatan,” ujarnya.

Roslan juga berkata, Proton telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti lokasi untuk stesen pengecasan bateri yang strategik di seluruh negara supaya bakal pembeli dapat mengecas bateri kereta sekiranya sudah habis.

Menurutnya, stesen pengecasan bateri akan turut dibina di kawasan luar bandar bagi pembeli kenderaan EV yang tinggal di kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN