PETALING JAYA: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.2 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM29.9 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Menurut Pos Malaysia, keuntungan buat pertama kali sepanjang 15 suku berturut-turut itu, meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM517.3 juta berbanding RM484.3 juta pada suku pertama.
Pos Malaysia turut mencatatkan penyusutan kerugian sebelum cukai bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2022 sebanyak 82.1 peratus kepada RM29.7 juta berbanding RM165.5 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Jelasnya, prestasi memberangsangkan itu disumbangkan oleh kepelbagaian pelanggan dan pendapatan serta pengurusan kos yang efektif, sekali gus menurunkan kos pengangkutan dan penghantaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, Pos Malaysia berada pada landasan yang betul untuk mencapai prestasi yang lebih baik.
“Saya amat berbangga dengan setiap kakitangan Pos Malaysia atas dedikasi, semangat serta komitmen berterusan daripada mereka. Kami mempunyai rangkaian perkhidmatan penghantaran terbaik di Malaysia serta capaian jarak jauh yang paling luas, menghubungkan lebih 10 juta alamat di seluruh Malaysia.
“Perjalanan transformasi yang kami mulakan 12 bulan lalu telah membuahkan hasil yang positif dan semestinya masih banyak lagi yang perlu dilakukan.
“Beberapa penekanan khusus akan diberikan dalam melaksanakan strategi kami iaitu keutamaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan seronok melalui penglibatan kakitangan secara menyeluruh, memberikan perkhidmatan berkualiti serta menggembirakan pelanggan kami,” katanya.
Menurutnya, segmen penerbangan dan logistik turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan sementara prospek ekonomi kekal positif.
“Kami masih berwaspada, namun optimis bahawa prestasi kewangan untuk tahun kewangan 2022 akan menunjukkan peningkatan berterusan berbanding tahun lalu.
“Tumpuan terus diberikan dalam segmen perniagaan bungkusan dan runcit yang lebih menguntungkan, transformasi teras operasi, mengoptimumkan perniagaan berasaskan keuntungan sekali gus memastikan Pos Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai masa depan yang lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN










