PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Volvo Trucks Malaysia (Volvo) bekerjasama dalam memacu keselamatan serta mewujudkan penyelesaian lestari bagi industri kenderaan berat di negara ini.
Kerjasama julung kali di antara kedua-dua organisasi itu termasuklah bertukar-tukar kepakaran dan teknologi dalam industri serta sumber ke arah mencapai sistem yang lebih selamat untuk pengguna kenderaan berat.
Kerjasama itu juga akan memberi laluan kepada PLUS untuk merancang dan memudahkan pembangunan stesen pengecasan kenderaan elektrik untuk kenderaan komersial di lebuh raya kendaliannya.
Pemeteraian kerjasama itu ditandangani oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Pengarah Urusan Volvo, Anthony O’ Connell baru-baru ini.
Menurut Azman, PLUS kini sedang menyediakan pembangunan infrastruktur pengecasan yang diperlukan untuk menyokong kenderaan penumpang elektrik di lebuh raya kendaliannya.
“Ini merangkumi persediaan untuk trak elektrik dan kenderaan komersial pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi kolaborasi itu, Volvo juga akan memperkenalkan pengangkutan elektromobiliti pertama di Malaysia selaras dengan usaha global mereka dalam menyokong agenda pelepasan karbon yang lebih rendah.

Azman berkata, PLUS komited untuk terus meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang lebuh raya melalui pendekatan 3E yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya kendaliannya.
Katanya, PLUS dan Volvo turut bekerjasama dalam membangunkan program keselamatan kenderaan berat, untuk melengkapkan pemandu dengan pengetahuan keselamatan dan pengendalian kenderaan berat yang lebih baik.
Program keselamatan itu katanya, akan diperluaskan kepada ahli PLUSTrack untuk meningkatkan lagi keselamatan mereka ketika memandu di lebuh raya PLUS.
“PLUSTrack adalah program yang dibangunkan oleh PLUS untuk pelanggan kenderaan komersial dan berat di lebuh raya kami. Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan pengalaman pelanggan kenderaan komersial kami sambil menambah nilai melalui ganjaran kesetiaan, keistimewaan dan perkongsian pendidikan oleh rakan kongsi kami,” tambah beliau.
Sementara itu, Connell berkata, industri pengangkutan telah berkembang pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kata beliau, inovasi teknologi telah menggerakkan syarikat ke arah meningkatkan kecekapan dan standard keselamatan yang lebih tinggi dan Volvo Trucks berada di barisan hadapan dalam memacu kemungkinan itu.
“Potensi yang ditawarkan oleh automasi, elektromobiliti dan kesalinghubungan melalui pendigitalan sistem pengangkutan, adalah sangat besar.
“Dengan pemilikan awal kepada akses pangkalan data industri fleet dalam peruntukan pengoperasian dan senario dunia sebenar, kami muncul sebagai peneraju utama dalam memacu penerimaan dan meningkatkan manfaat industri fleet dan kesannya kepada perniagaan secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN









