PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia mengekalkan trajektori peningkatan dengan merekodkan nilai perdagangan bulanan tertinggi bagi Julai pada RM252.65 bilion, berkembang 39.8 peratus berbanding Julai tahun lalu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, peningkatan dua digit tersebut adalah kali ke-18 bulan berturut-turut.
Kataya, eksport meningkat 38 peratus kepada RM134.07 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-12 bulan berturut-turut, manakala import berkembang sebanyak 41.9 peratus kepada RM118.58 bilion dan lebihan dagangan berkembang 14.3 peratus kepada RM15.49 bilion.
“Pertumbuhan eksport telah dipacu oleh peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum serta gas asli cecair (LNG). Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.
“Eksport ke ASEAN mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini. Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menyusut sebanyak 6.5 peratus, 8.2 peratus, 4.5 peratus dan 29.1 peratus,” katanya.
Menurut MITI, pada Januari hingga Julai, perdagangan naik 29.9 peratus kepada RM1.608 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Jelasnya, eksport meningkat 27.8% kepada RM873.07 bilion, manakala import berkembang 32.5 peratus kepada RM734.51 bilion dan lebihan dagangan bertambah sebanyak 7.4 peratus kepada RM138.56 bilion.
“Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai tertinggi bagi tempoh ini.
“Eksport barangan perkilangan pada Julai yang mewakili 83.7 peratus daripada jumlah eksport naik 35.4 peratus tahun ke tahun kepada RM112.26 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-12 bulan berturut-turut.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta kimia dan bahan kimia, di mana setiap barangan ini telah merekodkan kenaikan melebihi RM1 bilion,”ujarnya.
Tambah kenyataan itu, eksport hasil galian melonjak 100.4 peratus tahun ke tahun kepada RM10.81 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit untuk kali ke-16 bulan berturut-turut.
Dalam pada itu, eksport keluaran pertanian pula meningkat 24.1 peratuskepada RM10.52 bilion berbanding Julai 2021, pertumbuhan dua digit yang ke-17 bulan berturut-turut.
Sementara itu, MITI berkata, perdagangan dengan ASEAN melonjak 63 peratus tahun ke tahun kepada RM73.31 bilion, merangkumi 29 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
“Eksport naik 55.6 peratus kepada RM42.53 bilion, nilai bulanan yang tertinggi direkodkan setakat ini.
“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran petroleum dan jentera, kelengkapan dan peralatan. Import dari ASEAN melonjak 74.4 peratus kepada RM30.78 bilion,” jelasnya. – UTUSAN










