PETALING JAYA: Penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) adalah tepat pada masanya bagi memastikan hak pengguna terpelihara dalam industri perkhidmatan BNPL yang semakin berkembang.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkembangan ekosistem kredit pengguna itu amat pesat melalui peningkatan berlipat ganda.
“Sebagai contoh, pada 2020 kredit dalam talian berjumlah RM55 juta merangkumi perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dan berkembang pada RM1.49 bilion pada 2021.
“Pelaksanaan undang-undang itu juga dilaksanakan secara berfasa iaitu tiga peringkat sepenuhnya pada 2030, untuk menyesuaikan dengan pelbagai perkembangan teknologi yang cepat berubah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas langkah kerajaan menggubal CCA bagi memperkukuh perlindungan pengguna kredit di Malaysia.
Bagi tujuan itu, pasukan petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna mengundang maklum balas terhadap cadangan penggubalan berkenaan.
Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, usaha memantau syarikat-syarikat yang berdaftar dan beroperasi di Malaysia mungkin mudah, namun tidak bagi pinjaman dalam talian seperti pelaburan dalam talian yang tidak didaftarkan di negara ini.
“Seperti yang kita maklum, perkhidmatan kewangan ini mudah merentas sempadan dan pengguna mudah terdedah kepada pelbagai jenis pinjaman dalam talian yang bukan sahaja melalui e-dompet, tetapi juga transaksi dalam talian yang pelbagai.
Justeru jelasnya, akta CCA perlu mencakupi operasi perkhidmatan di luar Malaysia terutama server yang terletak di pesisir pantai.
“Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) perlu juga mempunyai kerjasama rapat dengan pihak berkuasa di negara-negara lain, terutama melalui bank-bank pusat dan pihak pemantau antarbangsa Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi bidang kuasa pesisir pantai.
“Di peringkat domestik pula, diharapkan CCOB mampu memantau perkembangan pinjaman melalui dalam talian ini supaya ia menjadi pilihan yang lebih baik berbanding pinjaman seperti ceti haram yang sentiasa mencari peluang memerangkap peniaga kecil kerana tiada dokumen kewangan lengkap,” ujarnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah meluluskan lesen lima bank digital yang dijangka akan merancakkan lagi persaingan dalam industri teknologi kewangan (fintech), seterusnya diharap dapat memberikan kelebihan kepada para pengguna terutama dengan kadar pinjaman yang lebih rendah dan proses kelulusan yang pantas.
Tambahnya, CCOB juga mestilah mengamalkan konsep komunikasi terbuka dengan semua pemain industri yang di bawah pemantauannya agar dapat menjadikan industri fintech di Malaysia sebagai antara yang terbaik di rantau ini. – UTUSAN










