PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengunjurkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat sebanyak lapan peratus kepada 1.70 juta tan pada Ogos berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, perkara tersebut susulan pusingan biologi tanaman sawit dan kemasukan pekerja asing yang mendorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, purata harga MSM bagi bulan ini dijangka lebih rendah berbanding Julai yang mencatatkan purata harga RM4,063 satu tan berikutan jangkaan penyusutan harga minyak soya di pasaran global di samping tindakan kerajaan Indonesia yang menghapuskan levi eksportnya bagi mempertingkatkan kuota eksport.
“Eksport minyak sawit bagi Ogos juga dijangka lebih rendah berbanding bulan sebelumnya yang merekodkan sebanyak 1.32 juta tan.
“Penurunan ini disebabkan oleh jangkaan permintaan yang lebih rendah daripada negara pengimport utama terutamanya dari India berikutan peningkatan persaingan dari Indonesia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Parveez berkata, Malaysia mencatatkan stok akhir minyak sawit pada paras 1.77 juta tan pada Julai, peningkatan 7.7 peratus berbanding Jun pada 1.65 juta tan yang disumbang oleh beberapa faktor seperti stok awal bulan Julai lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya, pengeluaran MSM yang meningkat dan peningkatan import yang ketara.
“Peningkatan stok akhir atau bekalan minyak sawit secara tidak langsung akan mempengaruhi harga komoditi sawit di pasaran. Apabila bekalan minyak sawit meningkat secara berterusan, ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada harga MSM, seterusnya menyumbang kepada harga yang lebih rendah.
“Selain itu, sentimen pasaran semasa turut mempengaruhi harga MSM. Harga MSM pada Julai telah mengalami kejatuhan sebanyak 33.5 peratus kepada RM4,063 satu tan berbanding RM6,106.00 satu tan pada Jun.
“Kejatuhan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti penurunan harga minyak kacang soya, penurunan harga minyak mentah Brent, eksport minyak sawit Malaysia yang rendah, peningkatan pengeluaran MSM tempatan serta lebihan bekalan minyak sawit di pasaran dunia,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan sumbangan industri sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun ini akan meningkat kepada 3.5 hingga 4 peratus berbanding 3.2 peratus pada tahun sebelumnya.
“Ini berdasarkan kepada prestasi industri sawit pada tahun ini yang dijangka lebih baik terutamanya harga produk sawit yang mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi dengan harga purata MSM sebanyak RM5,934.00 setan (Januari hingga Julai 2022) berbanding tahun sebelumnya,” jelasnya. – UTUSAN









