PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) terus menunjukkan prestasi positif untuk tempoh separuh pertama Tahun Kewangan 2022 (TK2022), dengan peningkatan pendapatan sebanyak 46 peratus kepada RM448.6 juta daripada RM307.4 juta tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan Kumpulan yang lebih baik disumbang oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM5,346 dan isirong sawit (PK) sebanyak RM3,960 bandingan tahun ke tahun walaupun kuantiti pengeluaran
yang rendah.
“Kumpulan mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) yang membanggakan sebanyak RM31.4 juta untuk keputusan kewangan separuh pertama 2022, walaupun perubahan nilai saksama aset biologi yang
rendah dan kos jualan yang tinggi, ditambah dengan persekitaran operasi mencabar yang berterusan, sebahagian besarnya disebabkan kekurangan tenaga buruh yang meruncing.
“PATAMI Kumpulan menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama pada 2021, tanpa mengambil kira kesan nilai saksama aset biologi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut THP, hasil prestasi kukuh Kumpulan dan dedikasinya untuk menyampaikan nilai berterusan kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tempoh
berakhir 31 Disember 2022.
Jelasnya, dividen itu akan dibayar pada 11 Oktober 2022 kepada pemegang saham dalam daftar pada 12 September 2022.
“Kumpulan terus mengambil semua langkah yang perlu untuk menambah baik asas-asas Kumpulan termasuk mengoptimumkan inisiatif-inisiatif pembajaan, mekanisasi dan transformasi untuk mengukuhkan kecekapan keseluruhan dan pengurusan kos.
THP menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2022,” katanya. – UTUSAN










