PETALING JAYA: Syarikat pembinaan, Tuju Setia Berhad mencatatkan peningkatan 85.6 peratus dalam pendapatan suku kedua berakhir 30 Jun 2022 kepada RM84.8 juta daripada RM45.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut didorong pengebilan yang lebih tinggi daripada projek berterusannya, lebih baik berbanding operasi suku sama tahun lalu yang teruk terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kumpulan kini sedang meneruskan kerja pembinaan untuk mencapai buku pesanan RM1.5 bilion pada 30 Jun 2022 yang terdiri daripada lapan projek bangunan termasuk projek Kediaman Jernih di Kajang bernilai RM257.0 juta yang diperoleh pada Jun lalu hasil usaha sama syarikat milik Sunway Berhad dan MKH Berhad, serta Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kajang.
Pengarah Urusan Tuju Setia Berhad, Wee Eng Kong berkata, kumpulan berusaha menyiapkan projek walaupun menghadapi cabaran dalam sektor pembinaan.
“Tuju Setia mengekalkan menguntungkan pada separuh pertama 2022 kerana kami telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menguruskan peningkatan kos bahan bangunan, buruh dan operasi.
“Tambahan pula, kami mengharapkan kerja-kerja projek yang sedang berjalan mencapai kemajuan yang lebih baik seperti mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan untuk membawa lebih ramai pekerja asing. Sementara itu, kami akan kekal berhemat dalam merancang dan menyelenggara sumber kecekapan kerja,” katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, walaupun berdepan isu kos bahan binaan, buruh dan operasi yang lebih tinggi, kumpulan mengekalkan untung bersih bernilai RM0.7 juta pada suku dilaporkan daripada RM0.9 juta pada suku sebelumnya.
Bagi tempoh kewangan separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, Tuju Setia mencatatkan hasil terkumpul sebanyak RM170 juta dan untung bersih RM1.1 juta berbanding hasil RM105 juta dan untung bersih RM4.4 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. – UTUSAN










