SEMENYIH: Belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan antara Perdana Menteri dan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan berhubung cadangan atau kemungkinan rombakan Kabinet, setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang perkara berhubung pengisian jawatan perlu diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Soalan itu (mengenai rombakan Kabinet) sepatutnya ditujukan kepada Perdana Menteri,” katanya ringkas ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia), di sini hari ini.
Ditanya sama ada BN telah mengemukakan sebarang cadangan nama untuk mengisi kekosongan tersebut, beliau menjelaskan bahawa Perdana Menteri masih belum menghubunginya mengenai perkara itu.
“Perdana Menteri belum bertanya lagi. Apabila tiba masanya, saya akan memaklumkan kepada media,” ujarnya.
Pada 7 Disember lalu, Anwar mengesahkan bahawa beliau telah mempunyai senarai bagi rombakan Kabinet yang akan datang namun belum mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, rombakan tersebut sebagai langkah kecil yang bertujuan mengisi kekosongan jawatan sedia ada, bukannya melibatkan perubahan besar dalam barisan Kabinet.
Ketika ini, empat jawatan dalam Kabinet masih kosong susulan beberapa peletakan jawatan menteri sebelum ini.
Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad masing-masing melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Mei lalu, manakala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, berbuat demikian bulan lalu.
Kekosongan bertambah dengan kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri apabila tempoh Senator oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berakhir awal bulan ini.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kini memangku portfolio Ekonomi, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengawasi portfolio Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula mengambil alih tugas sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.-UTUSAN










