PAT S2 Petronas Chemicals RM1.9 bilion

PAT S2 Petronas Chemicals RM1.9 bilion

KEMUDAHAN Petronas Chemicals Methanols Sdn. Bhd. di Labuan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan harga produk berikutan perang Russia dan Ukraine yang bermula pada Mac lalu, membantu mengurangkan kesan pengeluaran dan volum jualan yang lebih rendah untuk Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) pada suku kedua 2022.

PCG mencatat Keuntu­ngan Selepas Cukai (PAT) yang kukuh sebanyak RM1.9 billion pada suku kedua (S2) berakhir 30 Jun 2022 kerana margin produk yang lebih luas dan keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasi mengimbangi penurunan jumlah pengeluaran dan jualan.

Pendapatan meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM6.9 bilion daripada RM5.6 bilion pada tempoh sama tahun lalu, disebabkan harga produk yang lebih tinggi, didorong terutamanya oleh harga minyak mentah dan gas asli yang lebih tinggi berikutan krisis Russia-Ukraine

Selaras dengan prestasi itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim seba­nyak 25 sen sesaham berjumlah RM2 bilion, pembayaran dividen tertinggi Kumpulan setakat ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, sejak perang Russia-Ukraine bermula pada Mac, harga produk kekal kukuh pada suku kedua 2022 disebabkan harga minyak mentah dan gas asli yang tinggi.

“Itu membantu mengurangkan kesan pengeluaran dan jumlah jualan PCG yang lebih rendah semasa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berjadual di loji baja kami di Sipitang, Sabah dan loji metanol di Labuan.

“Aktiviti-aktiviti tersebut me­rupakan pengawalseliaan dan perlu untuk memastikan ke­selamatan jangka panjang, kebolehpercayaan dan kecekapan fasiliti kami.

“Memandangkan kami telah menyelesaikan semua aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji pada separuh pertama 2022, dijangkakan kadar penggunaan loji kami akan melebihi 90 peratus pada separuh kedua 2022,” katanya dalam kenya­taan.

MOHD. YUSRI MOHAMED YUSOF

Mengulas mengenai prospek pasaran bagi separuh kedua tahun ini, beliau berkata, walaupun harga produk terus didorong oleh harga tenaga yang tinggi, Kumpulan berpendapat, peningkatan kos bahan mentah dan operasi ditambah dengan perintah berkurung China telah melemahkan permintaan, terutamanya bagi produk kimia hiliran.

Jelasnya, harga olefin dan derivatif dijangka akan stabil de­ngan peningkatan permintaan berikutan pelonggaran sekatan di China, menjelang aktiviti stok semula pada akhir tahun ini.

Sementara harga urea dilihat mempunyai beberapa pembetulan tetapi berkemungkinan akan kekal tinggi berbanding paras harga sejarah.

Mengenai projek pertumbuhan Kumpulan, Mohd. Yusri berkata, aktiviti pentauliahan di Kompleks Bersepadu Pengerang telah berkembang sejak Mei dan permulaan fasiliti petrokimia telah bermula secara berperingkat sejak Julai.

Mengenai projek pertumbuhan lain, ujarnya, pembinaan loji Nitrile Butadiene Latex di Pengerang dan etoksilat dan poliol khusus di Kerteh juga sedang berjalan dengan lancar, lebih awal dari tarikh operasi jadual pada separuh kedua 2023.

“Mengenai cadangan pe­ngambilalihan Perstorp Holdings AB (Perstorp), PCG menjangkakan untuk menyelesaikan transaksi pada awal suku keempat 2022.

“Sebagai platform pertumbuhan dalam portfolio bahan ki­mia khusus kami, Perstorp akan meningkatkan prestasi dan nilai jangka panjang PCG.

“Kami percaya pengambilalihan ini akan mengekalkan kesinambungan masa hadapan syarikat kami dalam menghadapi turun naik pasaran dan perubahan industri yang dinamik serta memajukan peralihan transformasi ke arah masa depan pelepasan karbon sifar bersih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN