PETALING JAYA: MISC Bhd. mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM19.1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, berbanding keuntungan bersih RM538.8 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Syarikat perkapalan itu berkata, penyusutan itu disebabkan terutamanya oleh kemerosotan nilai kapal, kos kewangan yang lebih tinggi daripada pinjaman dan bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada usaha sama pada suku semasa.
Bagaimanapun, pendapatan Kumpulan bagi suku yang dilaporkan meningkat 36.5 peratus kepada RM3.2 bilion berbanding RM2.35 bilion dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada semua segmen.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien berkata, prestasi kewangan keseluruhan bagi suku kedua terkesan secara negatif oleh kemerosotan perakaunan beberapa kapal gas cecair asli (LNG) lama miliknya serta pelarasan yang dibuat kepada perakaunan pajakan kewangan untuk projek Mero 3 FPSO yang sedang dalam pelaksanaan.
“Bagaimanapun, kami kekal fokus untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek yang sedang berjalan dan secara konsisten menyampaikan penyelesaiannya dengan selamat, cekap dan dengan pasti untuk menyokong keperluan ekosistem maritim global.
“Berpandukan strategi, kami yakin dengan keupayaan untuk membuktikan masa hadapan perniagaan dengan mengejar peluang pertumbuhan untuk mengukuhkan kedudukan pasaran,” katanya dalam kenyataan.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2022, pendapatan Kumpulan meningkat 24.2 peratus kepada RM6.08 bilion daripada RM4.89 bilion yang dicatat dalam tempoh sama tahun lalu, disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada semua segmen.
Keuntungan operasi Kumpulan bagi tempoh enam bulan 2022 adalah sebanyak RM9.8 bilion, iaitu 10.4 peratus lebih rendah daripada RM1.09 bilion diperoleh tahun lalu disebabkan peningkatan dalam kos pembinaan FPSO dalam Perniagaan Luar Pesisir
Selain itu, Kumpulan melaporkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM386.2 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM940.4 juta dalam tempoh sama disebabkan oleh kemerosotan nilai kapal yang lebih tinggi, kos kewangan yang lebih tinggi serta bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada usaha sama. – UTUSAN









