PETALING JAYA: Kulim (Malaysia) Berhad (KULIM), melalui anak syarikat perladangannya, Mahamurni Plantations Sdn. Bhd. (MPSB), akan membina loji pengekstrakan minyak gentian sawit (palm-fibre oil extraction – PFOE) pertamanya di kilang kelapa sawit Sedenak di Johor.
Sebagai antara inisiatif yang menukar sisa menjadi bahan berguna, loji PFOE mengekstrak minyak daripada gentian mesocarp dari buah tandan segar yang diproses untuk menghasilkan minyak sawit merah yang boleh dijual pada 85 peratus daripada harga minyak sawit mentah.
Inisiatif ini akan menjana aliran pendapatan baharu bagi Kumpulan dengan anggaran RM8 juta setahun.
Bagi tujuan itu, MPSB menandatangani perjanjian kontrak dengan Eonmetall Technology Sdn. Bhd. (Eonmetall), anak syarikat Eonmetall Group Berhad yang berpusat di Pulau Pinang, untuk membina loji tersebut, yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.
Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan KULIM, Mohd. Faris Adli Shukery bagi pihak MPSB, dan Pengarah Urusan Eonmetall, Yeoh Cheng Chye.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KULIM, Fairuz Ismail dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Eonmetall Group, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak.
Mohd. Faris berkata, projek itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk melaksanakan ekonomi kitaran atau circular economy dengan memanfaatkan sisa minyak sebagai bahan mentah untuk biofuel dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk operasi loji daripada sumber yang mampan.
“Lebih penting lagi, ia adalah bukti komitmen kami terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.
Sejak 2007, Eonmetall, yang memiliki paten teknologi tersebut, telah memasang lebih daripada 20 kilang dalam industri minyak sawit.
Cheng Chye pula berkata, ia adalah hala tuju penting bagi KULIM untuk melabur dalam pendekatan tambahan nilai bersepadu untuk menghasilkan minyak gentian sawit bernilai tinggi.
“Loji ini direka dengan operasi berterusan dan beroperasi sepenuhnya secara automatik dengan tenaga kerja yang minimum, selaras dengan penggunaan IR 4.0 dalam pemprosesan berkaitan kelapa sawit,” katanya.
KULIM adalah anak syarikat milik penuh JCorp. Sejak ditubuhkan, KULIM telah dikenali sebagai kumpulan syarikat pengeluar minyak kelapa sawit yang beroperasi di Malaysia dan Indonesia.
KULIM antara pengeluar minyak kelapa sawit terawal yang menerima pengiktirafan piawai dari Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari atau lebih dikenali sebagai Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO). – UTUSAN










