
DALAM dunia permotoran sekarang, kewujudan kenderaan dwi kuasa atau hybrid sudah lama wujud dalam pasaran. Namun seperti angin lalu, kewujudan kenderaan seperti ini seolah-olah dilihat sebagai satu model rekaan atau imaginasi jurutera sahaja tanpa benar-benar diambil serius oleh majoriti pengguna atau orang awam. Walau bagaimana pun, sejak akhir-akhir ini, pembuat kereta seolah-olah berlumba-lumba memasarkan atau memperkenalkan model EV atau kenderaan elektrik yang 100% menggunakan kuasa elektrik sebagai bahan apinya. Tiada lagi penggantungan kepada bahanapi konvensional iaitu petrol.
Buat masa kini, penggunaan kenderaan EV 100 peratus mungkin belum lagi mencapai tahap ‘keperluan’ dan masih lagi di peringkat pengenalan. Ini semata-mata kerana negara kita masih belum mempunyai infrastruktur untuk membolehkan kenderaan EV ini dicas di lokasi yang banyak dan strategik. Maka, sekiranya saya diberi peluang menyuarakan pendapat, penyelesaian terbaik untuk 10 tahun kehadapan ialah kenderaan hibrid.
Dengan kerjasama Toyota Malaysia, saya berupaya untuk membandingkan antara dua jentera yang sama model, tetapi mempunyai dua enjin yang berbeza dari segi penggunaan bahan pi. Kenderaan ujian yang dibekalkan ialah Toyota Corolla Cross 1.8. Model Toyota ini mempunyai dua enjin yang berbeza untuk membolehkan pasaran memilih sama ada ingin meneruskan penggunaan enjin bahan api konvensional atau hibrid. Apakah perbezaan di antaranya? Ayuh kita kupas.
PENGENALAN
Untuk artikel kali ini, saya memilih untuk tidak meletakkan angka-angka yang sering diketengahkan sebagai contoh kuasa kuda, kuasa tork atau pun kuasa tujahan seperti dalam artikel-artikel lain. Saya ingin memberikan gambaran apakah ada perbezaan ketara yang boleh memberikan impak kepada pilihan anda untuk membuat pilihan antara versi konvensional atau hibrid.
Model Toyota Corolla Cross 1.8 ini ternyata satu usaha Toyota untuk turut serta dalam transisi ke arah dunia yang lebih ‘bersih’ dan mesra alam. Menyedari hakikat perubahan penggunaan kenderaan konvensional ke hibrid bakal melibatkan dua generasi, maka kedua-dua model ini diperkenalkan secara berperingkat.
Apakah sebenarnya definisi kenderaan hibrid? Kalau dari penterjemahan bahasa sahaja, ia bermakna dwi fungsi dalam satu entiti. Kenderaan hibrid bermaksud, kenderaan yang boleh menggunakan bateri atau pun petrol sebagai bahan bakar untuk menggerakkan jenteranya. Kenapa perlu teknologi penggunaan bateri/elektrik sebagai bahan api atau bahan kuasa kenderaan untuk masa kini? Ini ialah sebagai usaha untuk mempersiapkan dunia mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil atau petrol bakal pupus dalam masa akan datang. Minyak petrol yang sudah tidak boleh lagi dikekang kenaikkan harganya setiap tahun dan pengeluarannya yang semakin berkurangan akibat sumbernya yang sudah semakin berkurangan.
Bersesuaian dengan konsep tersebut, kenderaan hibrid di pasaran sekarang ini secara kasarnya tergolong dalam dua jenis. Hibrid yang perlu dicas bateri, dan yang baterinya dicas sepenuhnya menggunakan enjinnya sendiri. Sekali lagi, selain daripada kekurangan sumber bahan api dan harga pasaran dunia, enjin hibrid dibuktikan mampu meningkatkan kuasa enjin kenderaan apabila keupayaannya menggunakan kedua-dua konsep tenaga secara serentak.

PEMANDUAN
Kedua-dua Toyota Corolla Cross 1.8 ini ternyata mempunyai rupa fizikal atau kosmetik yang sama. Sama ada ruang kabin dalamnya, atau bahagian luar. Perbezaan ketara pada pandangan mata kasar sudah tentulah label yang dilekatkan pada tepi dan belakang model yang tertulis HYBRID. Selain daripada itu, anda tidak akan tahu perbezaannya walaupun diletakkan secara bersebelahan.
Dalam kabin versi hibrid, sudah tentulah bahagian ‘cockpit’ akan tampak sedikit berbeza apabila panel meter model versi hibrid lebih simple dan kemas, berbanding versi konvensional. Meter versi konvensional seperti sedikit ‘semak’ dan seperti terlalu banyak informasi yang ingin diketengahkan. Stering kedua-dua model ini juga serupa dan penggunaan kerusi pemandu yang boleh dilaras secara elektronik juga masih boleh didapati pada kedua-dua versi. Ruang duduk belakang juga tiada langsung perbezaan daripada segi rekaan, ruang kaki mahupun corong-corong hawa dingin yang membolehkan penumpang belakang melaras sendiri aruhannya.
Ketika memandu, kedua-dua model ini mempunyai prestasi yang hampir serupa pada tahap keupayaan suspensi, perasaan pengendalian stering dan juga sistem brek atau kuasa pemberhentian. Oleh itu, di manakah perbezaannya? Pertama, dari segi tujahan kuasa, model hibrid berupaya memberikan tujahan kuasa yang lebih cepat, malah dirasakan seperti kenderaan anda ini adalah kenderaan ‘gear manual’. Kedua-dua versi Cross dibekalkan dengan gear automatik dan bantuan kuasa elektrik daripada bateri hibrid ini ternyata memberikan respon yang seakan-akan serta-merta dan lebih berkuasa sekiranya dibandingkan dengan versi konvensional.
Mungkin ada yang bertanya, apakah versi hibrid ini serupa seperti model Toyota Prius dahulu. Jawapan amnya, ya, iaitu dari segi konsep dan penggunaan dwi kuasa ini. Toyota Prius yang berusia lebih 10 tahun masih lagi digunakan.
Begitupun, model Toyota Corolla Cross ini, sama ada hibrid atau konvensional ini agak memikat ramai peminat SUV kerana saiznya yang agak pertengahan berbanding SUV-SUV yang berada dalam pasaran. Ia tidak terlalu tinggi berbanding Proton X-70, dan tidak terlalu kecil ruang kabinnya seperti Proton X-50 atau Honda CRV. Sistem sensornya walau bagaimana pun, tidak sehebat model-model SUV kayangan seperti BMW, Mercedes atau pun Honda. Begitu pun, bersesuaian dengan harga pasarannya, kedua-dua versi Toyota Cross ini dirasakan agak mencukupi untuk pasaran tempatan buat masa ini.

KESIMPULAN
Tidak dapat tidak, penggunaan jentera hibrid adalah berdasarkan kepada hanya dua perkara. Pertama, kos efektif penggunaan bahan api dan kedua, kuasa penghantaran jenteranya.
Kos untuk menggantikan bateri bervoltan tinggi adalah sekitar RM8,500 seunit, dan inverternya adalah sekitar RM6,200 dan “power management control unit” adalah sekitar RM1,800. Adakah ini bemaksud anda perlu kerap menggantikannya seperti bateri untuk kereta mainan anak anda? Sudah tentulah tidak, keupayaan baterinya mampu memberikan anda kuasa sehingga ke satu dekad, dan seperkara menarik ialah UMW Toyota menawarkan sehingga 10 tahun jaminan (8 tahun secara am dan tambahan 2 tahun lagi dengan bayaran tambahan RM2,950 sekiranya diinginkan oleh pemiliknya) terhadap komponen-komponen hibridnya.
Dari segi penggunaan bahan api, penggunaan petrol pada kadar 5.5 liter setiap 100km dan membolehkan perjalanan hampir 370km untuk setangki petrol. Begitu pun, angka jarak tersebut mungkin tidak sangat mengagumkan kerana tangki petrolnya adalah hampir sama kapasiti dengan MyVI. Kapasiti tangki petrol Toyota Cross Hybrid ini kurang 11 liter daripada Toyota Cross konvensional, malah 9 liter lebih kecil daripada model PRIUS dahulu.
Begitu pun, kebolehan menghidupkan enjin seperti menghidupkan telefon bimbit anda, tanpa bunyi konvensional motor starter, jelas memerlukan sedikit kebiasaan atau keselesaan. Mengundurkan kenderaan anda juga seperti sedang mengundurkan sebuah golf cart, yang tiada bunyi. Faktor ini, membuatkan anda seolah-olah sedang memandu sebuah kereta 100 peratus elektrik dan hanya apabila Toyota Cross hybrid ini mula meluncur laju dalam kedudukan gear D, baru anda dapat mendengar deruman enjinnya.

Walau bagaimana pun, untuk tidak terlalu memburukkan Cross konvensional, bagi saya, sedikit lagging atau kelewatan pecutan yang ada padanya, tidak terlalu merungsingkan saya kerana seperti versi hibrid, anda boleh memilih untuk mode enjin sport dan ia agak membantu untuk penambahan prestasi.
Cuma, kedua-dua versi Toyota Cross ini, menggunakan brek parkir seperti sebuah kereta model lama, iaitu menggunakan pedal kaki. Faktor ini merasakan seperti Toyota agak sedikit tertinggal dalam penggunaan teknologi terkini. Hampir kesemua jenama lain kini menggunakan brek parkir elektronik yang mana membolehkan sistem ini dikaitkan dengan sistem pengendalian brek yang lain seperti brek kecemasan automatik dan lain-lainnya.
Kalau ditanya secara peribadi, adakah peralihan ke arah model-model hibrid ini perlu? Jawapan saya, sudah tentu. Untuk alam sekitar, untuk masa hadapan. Untuk kegunaan masa kini? Jawpan peribadi saya, saya tidak keberatan pun memiliki dan menggunakan Toyota Cross konvensional sebab kuasa dan keupayaan enjinnya hampir sama. Kos penjimatan menggunakan enjin hibrid ini jika dihitung secara jangka panjang, saya rasakan tidak membebankan sekiranya dibahagi antara tempoh masa. Terlanjur pula, saya sudah berumur 50an, saya mungkin berupaya memandu dalam tempoh 20 tahun sahaja lagi, sebelum sensor diri saya mula kurang prestasinya. – UTUSAN









