Jika ringgit ditambat, kadar OPR perlu dinaikkan - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Jika ringgit ditambat, kadar OPR perlu dinaikkan – Tengku Zafrul

opr
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar.

Malah, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat kepada dolar AS dan seandainya kadar faedah Rizab Persekutuan meningkat sebanyak 325 mata asas (3.25 peratus) secara keseluruhan pada 2022, maka Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga perlu dinaikkan pada kadar yang sama meskipun Malaysia berada pada tahap pemulihan ekonomi dan tekanan inflasi yang berbeza daripada AS.

“Dalam hal ini, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat pula terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara, semalam.

Bukan itu sahaja, Tengku Zafrul berkata, langkah tambatan perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal, namun tindakan ini akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

“Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel pada masa ini merupakan satu dasar yang penting bagi mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran dengan kepentingan untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik, meskipun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

“Sehubungan itu, Bank Negara akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar, dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kecairan yang mencukupi serta pasaran yang berdaya tahan dan mendalam untuk mencegah ketidakstabilan nilai ringgit,” katanya.

Jelasnya, pemantauan berterusan juga dilaksanakan untuk memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing dan mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit.

“Kerajaan akan terus menguruskan risiko-risiko perkembangan domestik dan luaran dan Bank Negara juga bersedia menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan yang teratur dalam pasaran pertukaran asing untuk mengelakkan turun naik yang ketara dalam kadar pertukaran ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin, pada asasnya, ekonomi negara kekal di landasan yang kukuh, disokong dengan permintaan domestik dan luaran yang teguh serta harga komoditi global yang kukuh.

“Kesemua ini telah dicerminkan oleh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun ini yang meningkat sebanyak 5.0 peratus dan dijangka terus berkembang lebih baik pada suku kedua,” katanya.

Tengku Zafrul turut menjelaskan, antara faktor nilai ringgit menurun sebanyak 6.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun ini hingga Ogos 2022 adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau dan negara-negara maju.

“Ini kerana dalam tempoh sama, mata wang lain telah pun menyusut berbanding dolar AS pada kadar lebih tinggi termasuk jiran-jiran kita dan negara Asia seperti Korea Selatan yang jatuh 9 peratus, Jepun, Filipina serta Eropah dan United Kingdom.

“Selain itu, mata wang menurun adalah disebabkan peningkatan mendadak dalam tekanan inflasi terutama di AS, kadar negara itu naik 9 peratus mendorong bank-bank pusat meningkatkan kadar inflasi, ini boleh menjurus kepada persekitaran kewangan global yang lebih ketat,” katanya.

Walaupun begitu, katanya, kadar OPR yang dicatatkan negara masih lagi rendah berbanding negara-negara lain dan masih lagi rendah berbanding OPR sebelum Covid-19.

“Ringgit juga menurun disebabkan keadaan geopolitik Ukraine-Russia serta kelembapan ekonomi China kerana mereka adalah rakan dagangan utama negara, polisi Covid-19 begitu konservatif, sekatan yang ketat menyebabkan rangkaian bekalan agak terganggu, ini salah satu sebab.

“Namun, kadar pertukaran ringgit berbanding rakan perdagangan Malaysia tidak terlalu terkesan,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul mengakui soalan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengenai bila ringgit akan kembali kukuh adalah sesuatu yang tidak boleh dipastikan ketika ini.

“Saya tidak ada bola kristal, saya tak dapat menyasarkan ringgit dalam tiga ke lima tahun, kalau saya boleh…saya tak duduk sinilah, tapi kalau kita tengok prestasi ringgit, ia perlu dilihat secara menyeluruh bukan sahaja bandingkan dengan dolar AS atau matawang Singapura.

“Ringgit ini perlu dinilai dari segi ekonomi, asas ekonomi, pada kadar pertumbuhan tinggi 5 peratus, kalau lihat KDNK kita pada tahap lebih tinggi.

“Insya-Allah, esok ada pengumuman mengenai KDNK suku kedua dan ini akan menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh, yang penting kita fokus kepada asas ekonomi ini dan ini akan memberikan bayangan kepada nilai mata wang ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya