fbpx

Glomac lancar RSKU Seri Kenanga

Rodziah (tengah) dan Zulkifly (paling kiri, barisan belakang) berbual dengan pembeli Rumah Selangorku (RSKU) Seri Kenari di Saujana Perdana hari ini. ABDUL RAZAK IDRIS

SUNGAI BULOH: Pemaju perumahan, Glomac Berhad bakal melancarkan projek Selangorku (RSKU) Seri Kenanga Townhouse dengan harga bermula daripada RM220,000.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Zulkifly Garib, projek tersebut dimajukan oleh Syarikat Kelana Kualiti Sdn. Bhd. dibawah seliaan Glomac Berhad sendiri.

“Seri Kenanga Townhouse adalah rumah bandar dua setengah tingkat dan tiga bilik tidur dengan keluasan 1,200 kaki persegi. 

“Projek RSKU ini terletak di dalam perbandaran terancang Saujana Utama di Sungai Buloh yang strategik.

“Dengan seni bina moden, Seri Kenanga adalah kediaman pilihan anda yang direka bentuk untuk keluarga yang mengidamkan ruang yang selesa untuk semua penghuni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pembeli RSKU Seri Kenari oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perumahan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail di Saujana Perdana, semalam.

Katanya lagi, Seri Kenanga Townhouse mempunyai akses mudah melalui Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) dan Lebuh Raya Baharu Lembah Klang (NKVE) dengan cuma berjarak 36 kilometer ke ibu negara. 

Sementara itu, Rodziah berkata, perkongsian pintar antara badan kerajaan dan sektor swasta merupakan kunci kejayaan sesebuah projek seperti RSKU.

“Saya gembira melihat pemaju seperti Glomac Berhad memberi sokongan terhadap inisiatif kami untuk menyediakan perumahan mampu milik di kawasan pinggir bandar.

“Ini adalah objektif kami, iaitu untuk menyediakan perumahan mampu milik yang bermutu serta selesa buat pembeli dari golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN