Dahulu doktor, kini pengasas Baituljannah.com

Dahulu doktor, kini pengasas Baituljannah.com

ANTARA pasangan yang bertemu jodoh menerusi platform Baituljannah.com, Muhammad Faizul Gulam Shariff dan Alia Rafiza Che Ayob yang mendirikan rumah tangga pada 30 Mei 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN merupakan graduan kedoktoran dan pernah bergelar doktor di sebuah hospital kerajaan, minat dalam perniagaan dan membangunkan aplikasi untuk kemudahan masyarakat mengubah kehidupan pengasas platform cari jodoh muslim, Baituljannah.com, Dr. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon.

Mengambil langkah berani dengan mengubah kerjaya daripada seorang doktor kepada usahawan internet sepenuh masa pada 2015, Wan Hasifi percaya dapat terus membantu lebih ramai orang walaupun bukan dalam bidang perubatan.
Baituljannah.com yang diasaskan bersama kakaknya, Wan Nuradila Huda yang berperanan sebagai Pengarah Operasi dan Sumber Manusia serta rakannya, Muhammad Azrain Kamaruddin sebagai Pengarah IT dan Kejuruteraan kini menjadi platform cari jodoh yang dipercayai.

Mengimbau kembali permulaan minatnya terhadap pembangunan aplikasi dan perniagaan internet, Wan Hasifi berkata, segalanya bermula ketika dia masih bergelar pelajar perubatan di Moscow, Russia pada 2010.
Ketika itu, dia menjadi jurugambar sambilan untuk kelangsungan hidup di negara orang menerusi portal mengiklankan perkhidmatan pelbagai pekerjaan sambilan yang digunakan secara meluas di sana.

“Ketika cuti musim panas, saya balik ke Malaysia dan menyedari portal seperti itu masih belum wujud di negara kita. Dari situ timbul idea untuk membangunkan laman web sendiri yang menawarkan perkhidmatan sama agar para pekerja bebas dapat mengiklankan perkhidmatan mereka. Selepas tiga bulan mempelajari sendiri asas coding dan programming, saya lancarkan laman web Freelancentral.

“Laman web tersebut mendapat sambutan menggalak­kan dengan lebih 3,000 peng­guna mendaftarkan perkhid­matan mereka dan jumlah transaksi dalam 18 bulan melebihi RM2 juta. Bagaimanapun, disebabkan kekangan masa apabila saya sudah mula sibuk dengan pembelajaran, saya terpaksa menutup laman web tersebut,” kata Wan Hasifi yang merupakan antara graduan doktor perubatan termuda di Malaysia pada usia 23 tahun.

Ujar Wan Hasifi, selepas menamatkan pengajian, dia bekerja di hospital namun masih meneruskan minatnya dalam perniagaan internet dengan mentadbir laman web Letsmasak.com yang membolehkan pengguna berkongsi resepi secara meluas dan laman web Med.my yang membolehkan orang ramai bertanyakan soalan berkaitan kesihatan dan mendapat jawapan daripada doktor bertauliah secara percuma.

DR. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon (kiri) bersama Wan Nuradila Huda dan Muhammad Azrain Kamaruddin bersama-sama membina aplikasi Baituljannah.com pada 2017.

MENUNTUT PENGORBANAN

Tidak dapat disangkal, pekerjaan sebagai doktor menuntut pengorbanan dan masa yang lebih sehingga ada kalanya boleh mengganggu kualiti hidup dan disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjalankan perniagaan berasaskan internet sepenuh masa.

“Saya dan kakak kemudian menjalankan perniagaan menjual tudung dengan jenama Simplehijab menerusi internet dan mendapat sambutan menggalakkan. Kakak saya pula ketika itu masih belum berkahwin dan aplikasi cari jodoh yang ada pula tidak mengikut syariat Islam dan lebih kepada budaya barat.

“Selepas itu, kami lancarkan Baituljannah di platform media sosial Simplehijab yang pada ketika itu mempunyai lebih satu juta pengikut dan pada bulan pertama sahaja, sudah menarik lebih 10 ribu pengguna untuk mendaftar. Tidak lama selepas itu, kami terima e-mel daripada seorang pengguna yang dia telah berkahwin dengan pasangan yang dikenali daripada Baituljannah.

“Terus terang ketika itu, pendapatan daripada menjual tudung lebih tinggi daripada menjalankan aplikasi cari jodoh tapi kami pilih untuk fokus pada Baituljannah kerana rasa gembira dapat bantu orang lain mendirikan rumah tangga,” ujarnya.

Melihat kepada potensi Baituljannah, Wan Hasifi berkata, mereka mengambil keputusan untuk terus fokus pada aplikasi tersebut dan menjual perniagaan fesyen mereka kepada sebuah syarikat lain selepas Baituljannah mencapai 500,000 pengguna.

Baituljannah kini merupakan aplikasi cari jodoh yang dipercayai dengan lebih 1.1 juta pengguna berdaftar sejak dilancarkan pada 2017 bukan sahaja di Malaysia, tapi turut digunakan di Brunei dan Singapura.

Baituljannah.com bukan sahaja untuk pengguna di Malaysia, tapi turut digunakan di Brunei dan Singapura.

“Walaupun kami tidak mempunyai data lengkap status pasangan, setelah lima tahun beroperasi kami anggarkan Baituljannah telah menyatukan lebih 20,000 pasangan ke alam perkahwinan dan ini membuatkan kami yakin aplikasi ini dapat pergi lebih jauh.

“Sejak tahun lepas, kami dalam proses membangunkan Baituljannah versi kedua yang lebih kemas dan mesra pengguna. Kami akan lancarkan versi kedua pada September ini dan akan menembusi pasaran Indonesia pada hujung tahun ini.

“Visi kami dengan Baituljannah sangat besar dan akan datang, kami akan memperluas perkhidmatannya bukan sahaja untuk mencari jodoh, malah menyediakan pelbagai perkhidmatan yang dapat memudahkan kehidupan seharian umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.

Aplikasi ini ternyata memberi impak dalam pasaran sehingga Wan Hasifi tersenarai sebagai antara 30 individu bawah 30 tahun di Asia oleh Forbes bagi kategori pengguna pada 2020.

Anak muda itu juga mempunyai wawasan untuk Baituljannah digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk kemudahan pengguna muslim selain meraih pendaftaran satu bilion pengguna dalam lima tahun lagi.

Namun katanya, minat terhadap dunia perubatan sejak kecil masih belum terpadam walaupun telah meraih pelbagai kejayaan menerusi perniagaan dan berhasrat untuk kembali menabur bakti dalam bidang tersebut sekiranya berkesempatan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN