PETALING JAYA: Cagamas Berhad telah mengumumkan penetapan harga bon dan sukuk bernilai RM1.11 bilion.
Bon dan sukuk itu meliputi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi tempoh setahun bernilai RM25 juta, Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) bagi tempoh setahun bernilai RM85 juta, Sukuk SRI Sosial ASEAN bagi tempoh dua tahun bernilai RM285 juta, Bon Sosial ASEAN bagi tempoh dua tahun, bernilai RM110 juta, IMTN bagi tempoh tiga tahun bernilai RM100 juta dan CMTN bagi tempoh tiga tahun pada RM390 juta.
Perbadanan gadai janji nasional itu menjelaskan, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk membiayai pembelian aset yang layak daripada sistem kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, terbitan termasuk sukuk SRI Sosial dan Bon Sosial menunjukkan usaha Kumpulan yang berterusan untuk memudahkan kelas aset mampan dan menggalakkan pertumbuhan ekosistem pasaran yang mampan.
“Syarikat berjaya menetapkan harga Sukuk SRI Sosial dua tahunnya pada dua mata asas lebih rendah daripada IMTN dua tahun, merekodkan sebaran kompetitif 39 hingga 45 mata asas di Sekuriti Kerajaan Malaysia/Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia bagi keseluruhan terbitan.
“Sukuk SRI Sosial dan Bon Sosial untuk rumah mampu milik diberi penarafan Manfaat Sosial tertinggi Tahap 1 oleh RAM Sustainability Sdn. Bhd. di bawah Rangka Kerja Bon/Sukuk Kelestarian Cagamas,” katanya.
Cagamas berkata, urusniaga terbaharu itu menjadikan jumlah terbitan tahun sehingga kini syarikat berjumah RM10.05 bilion.
Katanya, terbitan itu akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, meletakkan kedudukan sama rata dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat yang lain. – UTUSAN









