PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) komited mengukuhkan lagi kerjasama pengawalan dan penyeliaan berhubung dengan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) dan Sekatan Kewangan Bersasar (TFS).
Terma kerjasama tersebut menggariskan tanggungjawab pengawalan dan penyeliaan BNM dan SSM berhubung pengawalan dan penyeliaan ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah.
Terma ini juga akan membolehkan pendekatan yang lebih berstruktur diambil dalam usaha menilai risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (ML/TF) bagi kedua-dua sektor serta meningkatkan kapasiti keinstitusian dalam bidang-bidang ini.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata, perjanjian yang dimeterai adalah hasil kerjasama yang teguh antara BNM dengan SSM selama bertahun-tahun.
“BNM berbesar hati kerana dapat bekerjasama rapat dengan SSM untuk menjamin dan mengekalkan integriti sistem kewangan.
“Kami yakin SSM dapat melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar untuk menjalankan penyeliaan AML/CFT ke atas setiausaha syarikat dan syarikat amanah pada masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, adalah penting bagi setiausaha syarikat dan syarikat amanah untuk mengetahui dan memahami peranan serta dedahan risiko berkaitan dengan ML/TF terhadap fungsi mereka.
“Pengetahuan dan pemahaman ini akan membentuk asas untuk mereka memahami dan memantapkan langkah pencegahan terhadap kegiatan jenayah ini dan perjanjian yang ditandatangani merupakan satu langkah penting ke arah mencapai matlamat tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










