LONDON: Elon Musk berkata, beliau hanya bergurau apabila memberitahu akan membeli kelab bola sepak Manchester United (MU).
“Tidak, ini adalah jenaka yang sudah lama berlaku di Twitter. Saya tidak membeli mana-mana pasukan sukan,” kata Musk, apabila ditanya oleh seorang pengguna jika beliau serius untuk membeli kelab Inggeris itu.
Terdahulu, individu terkaya di dunia itu menyatakan “Saya beli Manchester United..,” tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Sebahagian penyokong MU yang kecewa dengan prestasi kelab itu kebelakangan ini, telah menggesa Musk melalui Twitter, membeli kelab berkenaan.
Gesaan itu timbul selepas beliau dilaporkan mahu membatalkan perjanjian pembelian Twitter bernilai AS$44 bilion, hanya empat bulan selepas mengumumkan akan mengambil alih platform media sosial itu. Tindakan itu bagaimanapun telah menyebabkannya disaman.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) SEC tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas tweet Musk bahawa beliau membeli kelab itu di luar waktu perniagaan biasa.
Musk mempunyai sejarah mengeluarkan kenyataan yang tidak konsisten, sehingga kadangkala sukar untuk mengetahui sama ada beliau bergurau atau sebaliknya.
Misalnya, pada 27 April, beliau membuat ciapan mengatakan: “Selepas ini, saya akan membeli Coca-Cola untuk memasukkan semula `kokain’ itu.” Ia dibuat dua hari selepas lembaga pengarah Twitter menerima tawaran untuk membeli syarikat berkenaan.
Malah, ciapan Musk mengenai potensi pengambilalihan pada masa lalu telah menyebabkan beliau berbalah dengan pengawal selia AS.
Pada 2018, beliau membuat ciapan menyatakan terdapat “pembiayaan terjamin” untuk perjanjian AS$72 bilion bagi pengambilan Tesla secara peribadi, tetapi tidak meneruskan tawaran berkenaan.
Musk dan Tesla masing-masing membayar denda sivil sebanyak AS$20 juta – dan Musk meletak jawatan sebagai pengerusi Tesla untuk menyelesaikan dakwaan SEC bahawa beliau menipu pelabur.
MU merupakan satu daripada kelab bola sepak yang mempunyai penyokong terbaik di dunia dengan akaun Twitter rasminya mempunyai 32 juta pengikut. Tweet Musk mengenai rancangan membeli kelab itu telah mendapat 400,000 `likes’ dalam tempoh hanya empat jam.
Kelab bola sepak itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak AS$2.08 bilion (RM9.29 bilion), setakat penutupan pasaran saham pada Selasa. – AGENSI










