PETALING JAYA: Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) menerima penarafan MARC-2IS terhadap program Nota Komersial Islamik (ICP) ) Bina Darulaman Bhd. (BDB) bernilai RM100 juta bagi tempoh lima tahun dalam tinjauan kedudukan terbaharu yang dikeluarkan pada Ogos.
Agensi itu berkata, menyatakan penarafan itu diberikan berdasarkan pemilikan tanah BDB yang sedia ada untuk pembangunan hartanah, kecairan yang mencukupi untuk memenuhi operasi jangka pendek dan komitmen kewangan, aliran keuntungan yang stabil daripada kontrak penyelenggaraan jalan dan peningkatan permintaan dalam sektor pembinaan.
Tambah agensi itu, status BDB selaku entiti milik kerajaan Kedah telah meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik untuk memperoleh kontrak pembinaan negeri yang juga merupakan antara faktor utama BDB dipertimbangkan sebagai pilihan utama.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, kajian MARC mengesahkan strategi dan pelaksanaan pengurusan BDB dalam mewujudkan model perniagaan yang lancar untuk syarikat dan penjanaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
“Pelaksanaan dan penyampaian pelan pemulihan BDB yang dirangka untuk menangani keadaan operasi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 adalah sebab utama mengapa BDB muncul pada kedudukan kewangan dan operasi lebih kukuh pada tahun 2022.
“Kunci kejayaan BDB adalah penstabilan pendapatan, pengoptimuman kos, kecekapan operasi yang telah dilipat-gandakan, pendigitalan dan pembangunan modal insan yang telah mewujudkan daya saing dan dinamik yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau memberitahu, BDB komited untuk terus mengimbangi semula dan mengoptimumkan operasi perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan daya tahan syarikat.
Menurutnya, ketahanan, fokus tinggi dan keazaman syarikat telah menunjukkan kemampuan yang boleh dicapai apabila mereka bangkit daripada pandemik untuk menjadi perniagaan yang lebih baik.
“Normalisasi terhadap rantaian bekalan dan penyambungan semula perniagaan kepada operasi seperti sedia kala dapat mengatasi permintaan yang meningkat untuk setiap produk dan perkhidmatan.
“Perniagaan teras BDB iaitu pembangunan hartanah dan kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) berada di kedudukan yang baik untuk memaksimumkan peluang perniagaan dalam kondisi perniagaan yang semakin baik ini.
“Divisyen hartanah BDB akan memberi tumpuan untuk membuka potensi nilai pemilikan tanah dengan membangunkan perbandaran sedia ada dan membina perbandaran perumahan mampu milik yang baru bersama rakan kongsi kami,” ujarnya.
Tambahnya, BDB menyasarkan untuk mendapatkan kontrak dan peluang perniagaan baharu di luar Kedah untuk meningkatkan profilnya pada 2023. – UTUSAN










