PETALING JAYA: Amazfit, jenama perkakasan boleh pakai pintar premium yang dimiliki oleh Zepp Health Corporation (Zepp), melancarkan Amazfit GTS 4 Mini di Malaysia dengan semua ciri yang diperkemas dalam bentuk yang ringan dan padat.
Amazfit GTS 4 Mini yang sangat nipis didatangkan dalam bingkai aluminium seberat 31.2 gram sahaja manakala nisbah skrin-ke-badan 70.2 peratus memberikan ruang skrin lebih besar.
Dikuasakan oleh bateri 270-miliampere jam, Amazfit GTS 4 Mini boleh bertahan selama 15 hari dengan sekali cas.
Selain itu, jam tangan pintar mini ini turut dilengkapi sistem penentududukan lima satelit untuk aktiviti luar, kalis air sehingga lima satuan tekanan di atmosfera (ATM) untuk sukan air dan lebih 120 mod sukan.
Amazfit GTS 4 Mini juga boleh mengenali tujuh aktiviti sukan dan Algoritma Status Senaman PeakBeats memantau pemulihan selepas senaman manakala pemakai boleh menilai dan membandingkan data pusingan prestasi larian melalui Virtual Pacer.
Semua data ini mudah dilihat melalui Aplikasi Zepp, yang dikuasakan oleh sistem pengendalian Zepp. Amazfit GTS 4 Mini juga mempunyai Alexa yang boleh diakses melalui mikrofon.
Tali silikon lembut dan mesra kulitnya didatangkan dalam warna Mint Blue, Flamingo Pink, Midnight Black dan Moonlight White.
Jam pintar ini juga membolehkan pemakai memuat turun berpuluh-puluh muka jam, dan sesetengahnya dianimasikan.
Amazfit GTS 4 Mini akan dijual pada harga RM399 dengan waranti pembelian selama setahun.
Harga istimewa pelancaran Shopee hanya RM379 seunit sehingga 22 Ogos 2022, selain berpeluang mendapatkan baju-T Amazfit edisi terhad selagi stok masih ada. – UTUSAN










