Amanah Menjaga Tabung Haji - Utusan Malaysia

Amanah Menjaga Tabung Haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tabung Haji yang bakal menyambut ulang tahun keenam puluh pada 2023, bermula dengan penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) pada 1963. PWSBH pula digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji pada 1969, untuk membentuk Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dan pada 1995, LUTH telah dijenamakan semula sebagai Tabung Haji (TH). 

Tujuan utama penubuhan TH adalah untuk membantu masyarakat muslim di Malaysia untuk menabung bagi tujuan urusan ibadah haji. Kini, TH mempunyai seramai kira-kira 8.4 juta pendeposit. Jumlah deposit TH setakat Mei lalu adalah sebanyak RM88 bilion, jumlah tertinggi  dalam sejarah TH. 

TH, di bawah Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 menyasarkan jumlah depositnya untuk meningkat kepada RM100 bilion pada penghujung 2024. Deposit yang terkumpul ini membolehkan TH membuat pelaburan secara strategik demi menjana pulangan setanding dengan pasaran, serta memastikan pertumbuhan yang berterusan. Sebagai contoh, TH adalah pemegang saham terbesar di beberapa syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia seperti TH Plantations Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad. 

Gabungan hasil pulangan pelaburan-pelaburan ini dan juga pendapatannya yang lain menghasilkan jumlah keseluruhan pendapatan TH setiap tahun. Daripada hasil pendapatan ini membolehkan TH mengagihkan keuntungan atau dividen kepada para pendeposit, selain menjadikan TH sebuah institusi yang mampan kerana ianya berupaya menanggung kesemua kos pentadbirannya termasuk kos kakitangan, tanpa bantuan kerajaan. Daripadanya juga, TH berupaya melunaskan zakat perniagaan saban tahun. 

Tanggungan kos haji

Seperkara yang jarang diketahui umum adalah daripada pendapatan ini juga, TH berupaya menanggung sebahagian kos haji. Tanggungan kos haji atau diistilahkan sebagai Hafis membolehkan TH memberi bantuan kewangan bersasar demi mengekalkan bayaran haji pada kadar yang mampu ditanggung oleh kebanyakan jemaah haji, terutamanya kumpulan B40. 

Sebagai contoh, kos haji pada tahun ini adalah sebanyak RM25,240 seorang. Melalui bantuan ini, bayaran untuk mengerjakan haji untuk kumpulan B40 hanya sebanyak RM10,980 iaitu pengurangan sebanyak 57 peratus daripada kos haji manakala bagi jemaah haji kumpulan bukan B40, bayarannya sebanyak RM12,980 iaitu pengurangan sebanyak 49 peratus daripada kos haji. Pendekatan TH ini membolehkan lebih ramai muslimin di Malaysia mampu ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji sekali gus berpeluang ke tanah suci Madinah untuk menziarahi makam Baginda Nabi Muhammad SAW. 

Model perniagaan terbukti

TH berkemungkinan satu-satunya badan berkanun di rantau ini yang mandiri dalam menanggung kos operasinya, membayar zakat perniagaan, memberi bantuan kewangan haji serta memberi agihan keuntungan dividen pada kadar yang berdaya saing. 

Ia adalah satu model perniagaan dan pengurusan haji yang terbukti berkesan dan diikhtiraf dunia. Model ini harus dicontohi oleh institusi lain terutamanya institusi perbankan Islam dan pengendali Takaful yang kini menerajui konsep pengantaraan berdasarkan nilai (VBI). Atas dasar ini, setiap pemegang taruhnya, termasuk pendeposit, mempunyai tanggungjawab dan amanah besar untuk sama-sama menjaga dan memastikan TH terus diperkukuh dan ditambah baik bagi membolehkan manfaat yang disediakan TH, terutamanya bantuan kewangan haji dapat diteruskan di masa hadapan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya