PETALING JAYA: AIA telah melancarkan Penyelesaian Kesihatan Mental yang pertama dalam pasaran dengan kerjasama ThoughtFull, platform kesihatan mental digital berpangkalan di Asia Tenggara.
Menurut AIA, penyelesaian baharu itu membolehkan majikan memberikan penjagaan yang lebih baik dan sokongan hujung ke hujung untuk kesejahteraan mental pekerja mereka.
Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat AIA Berhad, Tung Hsiao Ley berkata, syarikat melihat semakin ramai tenaga kerja terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan mental, yang telah diburukkan lagi oleh pandemik.
“Ia bukan sahaja memudaratkan kesejahteraan emosi seseorang individu itu, tetapi ia turut menjejaskan produktiviti negara.
“Organisasi yang ingin memupuk persekitaran kerja yang sihat dan gembira untuk pekerja mereka dan pada masa sama terus mendahului persaingan mereka perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Hsiao Ley berkata, adalah penting bagi AIA untuk menyokong tenaga pekerja bagi meningkatkan lagi daya tahan mereka agar dapat mengharungi segala perubahan yang berlaku secara mengejut dan berlanjutan di tempat kerja dan dalam kehidupan peribadi mereka.
“AIA bekerjasama dengan ThoughtFull kerana pendekatan mereka yang tulen dan lancar terhadap kesejahteraan mental di tempat kerja dan kami telah melihat sendiri manfaatnya kepada pekerja kami.
“Ini telah mendorong kami untuk terus meneroka bagaimana kami boleh membawakan perkhidmatan ini kepada pelanggan korporat kami sendiri,” tambah beliau.
Penyelesaian Kesihatan Mental baharu itu adalah sebahagian daripada WorkWell with AIA, suatu proposisi di bawah Penyelesaian Korporat Menyeluruh (Total Corporate Solutions) syarikat berkenaan.
WorkWell with AIA menawarkan pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan bagi membimbing organisasi yang ingin memupuk dan meningkatkan kesejahteraan pekerja mereka.
Penyelesaian Kesihatan Mental ini didatangkan dengan dua ciri unik iaitu Akses Digital kepada Kesejahteraan Mental dan Perlindungan untuk Manfaat Kesihatan Mental. – UTUSAN










