SERDANG: Agrobank optimis dapat menghabiskan agihan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) sebanyak RM800 juta menjelang akhir tahun ini, bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara.
Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon berkata, sebanyak RM300 juta diperuntukan bagi pembiayaan ternakan ayam; RM200 juta bagi ternakan ruminan (lembu dan kambing) dan RM100 juta lagi bagi tanaman sayur-sayuran.
Katanya, RM200 juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan usaha usahawan mikro, usahawan mikro baharu dan usahawan muda.
“Bagi pembangunan usahawan, sebanyak RM100 juta dana telah diluluskan sehingga Julai. Pembiayaan ini melibatkan kadar keuntungan yang rendah iaitu tiga peratus dan terdapat morotorium selama enam bulan.
“Sementara itu, dana ternakan ayam, ruminan dan tanam sayur-sayuran juga mendapat sambutan yang baik terutamanya semasa Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur yang melibatkan kerjasama antara di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Agrobank di Ladang 15, Fakulti Pertanian, UPM di sini, semalam.
Sementara itu, Aminuddin berkata, sebanyak RM82,000 diperuntukkan dalam program kerjasama dengan UPM tersebut yang melibatkan 10 peserta untuk tempoh enam bulan dalam usaha melahirkan usahawan akuakultur.
“Dana program ini adalah daripada Tabung Pembiayaan Social Islamik. Keuntungan daripada program tersebut dibahagi dua antara tabung tersebut dan UPM serta peserta.
“Hasil daripada keuntungan akan masuk semula ke dalam tabung bagi membolehkan lebih banyak program seperti ini dilaksanakan. Program seterusnya dijangka dilaksanakan pada Oktober atau November ini,” ujarnya. – UTUSAN










