AEON lancar Karnival Bumi Kenyalang, bantu usahawan - Utusan Malaysia

AEON lancar Karnival Bumi Kenyalang, bantu usahawan

Penasihat dan mantan Menteri MINTRED, Datuk Mohd. Naroden Majais berbual dengan peserta pameran di AEON Mall Shah Alam, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON CO. (M) BHD. (AEON) meneruskan misinya untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempromosikan produk tempatan dengan menganjurkan Karnival Bumi Kenyalang dan Kempen Beli Barangan Malaysia yang diadakan di AEON Mall Shah Alam sehingga 31 Ogos ini.

Program itu adalah kerjasama antara AEON, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pelancongan Sarawak. 

Acara tersebut mengetengahkan produk dan perkhidmatan daripada 36 usahawan dari Sarawak yang terkenal, selain menampilkan keindahan tarian dan kesenian tradisional Sarawak.

Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengarah Komunikasi Korporat AEON, Dr. Kasuma Satria berkata, iInisiatif tersebut merupakan antara nilai teras AEON yang sentiasa diamalkan untuk menyokong pertumbuhan komuniti tempatan dan bertindak sebagai warga korporat yang berkhidmat kepada masyarakat.

“Ia merupakan usaha daripada AEON, kerajaan persekutuan dan Sarawak untuk menyediakan platform kepada usahawan tempatan untuk merangsang perbelanjaan tempatan dalam kalangan pengguna dan seterusnya menyumbang kepada pemulihan ekonomi.

“Kami mengalu-alukan mana-mana usahawan tempatan untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama kami,” katanya dalam kenyataan.

Program Karnival Bumi Kenyalang tahun ini merupakan kali kedua dilaksanakan oleh AEON di mana Karnival Bumi Kenyalang yang pertama telah dilangsungkan di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 2020.

Bersempena dengan bulan Kebangsaan 2022, program ini juga akan diwarnai oleh pameran dan jualan sebagai tumpuan utama karnival yang merupakan kesinambungan daripada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang telah dilancarkan oleh KPDNHEP sebelum ini.

Produk-produk yang dipamerkan dan dijual adalah makanan dan minuman orang Sarawak, tekstil dan pakaian, perhiasan dan kraftangan, kecantikan dan kesihatan serta pelancongan dan perkhidmatan. 

Karnival Bumi Kenyalang, yang merupakan sebahagian daripada Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), adalah salah satu contoh di mana AEON ingin mewujudkan kesedaran tentang produk tempatan dengan memperkasakan usahawan tempatan untuk keluar dari kawasan mereka dan berkongsi keindahan dan keistimewaan produk dan perkhidmatan dalam pasaran domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya