BUKIT MERTAJAM: Pelaksanaan Program Pembiayaan Mikro i-Tekad hasil pemeteraian kerjasama antara Zakat Pulau Pinang (ZPP) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mampu menjadi ‘batu loncatan’ kepada satu usaha sama baharu yang seterusnya akan memberi manfaat kepada masyarakat Islam di negeri ini.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Roslan Ahmad berkata, program pembiayaan itu secara umumnya merupakan satu inisiatif kewangan sosial yang bertujuan menyokong dan memudahkan pembiayaan bagi usahawan mikro asnaf dan golongan berpendapatan rendah (B40) yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah ZPP berkata, dalam hal ini, program pembiayaan itu menggunakan sumbangan kewangan sosial seperti zakat, wakaf dan sedekah bagi penyediaan modal permulaan yang digabungkan dengan pembiayaan mikro berpatutan untuk pemohon yang layak.
“Melalui program ini juga, bank peserta dengan kerjasama beberapa Majlis Agama Islam Negeri-negeri serta institusi zakat akan membantu usahawan mikro yang layak.
“Saya juga difahamkan bahawa BIMB merupakan bank pertama yang melaksanakan program i-Tekad ini,” katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Bandar Perda, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) ZPP, Mohamad Kairi Ghazali dan Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan BIMB, Mohd. Nazri Chik.
Selain Pembiayaan Mikro i-Tekad, MoU itu turut merangkumi Pembiayaan Mikro BangKIT dan Geran Perniagaan BanKIT (BBG) bagi tujuan pembangunan usahawan mikro yang belum layak mendapat kemudahan pembiayaan perbankan setakat ini.
Dalam pada itu, Mohamad Kairi memberitahu, melalui produk pembiayaan mikro i-TEKAD ini, beliau melihat industri perbankan giat memperkenalkan produk baharu yang direka bagi memenuhi keperluan khusus segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan sebelum ini.
Katanya, produk tersebut termasuk pembiayaan mikro ihsan untuk usahawan B40 serta asnaf zakat yang dibiayai oleh sumbangan derma daripada syarikat korporat dan program pembiayaan melalui dana zakat.
“Rencana mengenai Pemerkasaan Usahawan Asnaf melalui Pembiayaan Mikro BIMB boleh menjadi contoh program rintis yang menggunakan instrumen kewangan sosial untuk melengkapkan penyelesaian kewangan usahawan sedia ada di Pulau Pinang.
“Dalam hal ini, pihak bank dan ZPP akan terus memantau kemajuan dan kesan yang dihasilkan daripada inisiatif kewangan sosial yang dijalankan selepas ini untuk mengukuhkan ekosistem yang menyokong kewangan sosial melalui dana zakat yang lebih berdaya tahan dan efektif di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN









