Untung bersih Bursa susut 39.4 peratus

Untung bersih Bursa Malaysia susut 39.4%

BURSA akan terus terlibat secara aktif dan membangunkan produk patuh syariah baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM127.4 juta bagi enam bulan pertama tahun ini berakhir 30 Jun 2022, susut 39.4 peratus daripada RM210.4 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Penurunan tersebut didorong oleh pendapatan operasi yang lebih rendah sebanyak 26.4 peratus kepada RM309.4 juta daripada RM420.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu lanjutan penurunan hasil dagangan sekuriti.

Bagi tempoh yang sama, Pasaran Sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM147.2 juta, jatuh 44.7 peratus daripada RM266.1 juta yang direkodkan pada separuh tahun pertama 2021.

Perkara tersebut disebabkan oleh purata nilai dagangan harian (ADV) untuk Market On-Market Trades (OMT) dan Direct Business Trades (DBT) bagi tempoh tersebut lebih rendah kepada RM2.46 bilion berbanding RM4.51 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Lembaga Pengarah melulus dan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, berjumlah kira-kira RM121.4 juta.

Ia mewakili nisbah pembayaran sebanyak 95.3 peratus lebih tinggi daripada nisbah pembayaran untuk tempoh sama tahun lalu iaitu pada 92.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, aliran hasil yang lemah telah dipengaruhi oleh perkembangan domestik dan global.

“Ini termasuklah tekanan inflasi global, yang mengakibatkan penurunan keuntungan bagi separuh tahun pertama 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Walau bagaimanapun, dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM2.1 bilion pada tempoh tersebut, jauh lebih tinggi daripada RM0.4 bilion yang diperoleh pada tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah hasil dagangan derivatif meningkat 6.2 peratus kepada RM47.7 juta pada tempoh tersebut, disumbangkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih tinggi walaupun mencatatkan Kontrak Harian Purata Pasaran Derivatif (ADC) yang lebih rendah.

“Bursa akan terus terlibat secara aktif dan membangunkan produk patuh syariah baharu, seperti Dinar Emas Digital yang bertujuan untuk memenuhi permintaan pelabur.

“Mengambil kira unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia sebanyak 5.5 peratus didorong oleh permintaan penggunaan yang lebih tinggi, kami menjangkakan bilangan penyenaraian baharu kekal kukuh pada separuh kedua 2022.

“Kami akan terus meningkatkan daya tarikan penerbit tersenarai sedia ada melalui Program Transformasi Syarikat Tersenarai Awam kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×