PETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. melihat jualan Jun meneruskan trajektori menaik untuk Toyota dan Lexus masing-masing sebanyak 8,870 unit dan 69 unit, menjadikan jualan keseluruhan dua jenama itu sebanyak 8,939 unit.
Ia menunjukkan peningkatan berbanding jualan keseluruhan pada Mei sebanyak 7,579 unit iaitu 7,442 unit bagi Toyota dan Lexus (137 unit).
Jumlah jualan tahun sehingga kini untuk Jun 2022 direkodkan pada 45,911 unit, meningkat 35 peratus berbanding 34,111 unit untuk tempoh sama tahun lalu.
Presidennya, Ravindran K. berkata, memasuki separuh kedua 2022, UMW Toyota Motor menumpukan perhatian untuk menyediakan pemilik Toyota pengalaman pemilikan dan selepas jualan yang terbaik.
“Melangkah ke hadapan, perubahan tingkah laku pengguna mungkin akan meletakkan nilai pada lanjutan teknologi automotif dan ciri keselamatan komprehensif yang disokong oleh pelbagai nilai tambah perkhidmatan selepas jualan.
“Kami menawarkan pemilik bukan sahaja kemajuan teknologi terbaik di hujung jari mereka untuk pemanduan yang lebih lancar dan selamat, malah menggunakan ExtraMile untuk meningkatkan perjalanan pemilikan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Pengumuman baru-baru ini mengenai pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka memberi kesan negatif jangka pendek kepada jualan.
Walau bagaimanapun, ia dapat dikurangkan dengan beberapa tanda awal pemulihan mengenai kekurangan semikonduktor dan mikrocip global pada separuh kedua tahun ini, sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran.
Membina momentum jualan Jun, Toyota Veloz 1.5 A/T serba baharu kini tersedia untuk tempahan di semua bilik pameran Toyota.
Peminat Toyota juga boleh mendapatkan penjimatan pertengahan tahun dan rebat tunai yang hebat seiring dengan pelancaran produk sambil merasai sendiri bagaimana UMW Toyota Motor melakukan ExtraMile untuk memberikan nilai terbaik untuk pemanduan yang luar biasa. – UTUSAN










