Takaful IKHLAS, MAIPk jalin kerjasama tingkat pengurusan wakaf

Takaful IKHLAS, MAIPk jalin kerjasama tingkat pengurusan wakaf

MUHAMMAD Fikri Mohamad Rawi (kiri) dan Shahrul Azam Shaari bertukar dokumen kerjasama selepas majlis menandatangai MOU antara Takaful IKHLAS dan MAIPk di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pengurusan dan pembangunan program wakaf di Perak dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan masyarakat, komuniti asnaf, dan belia di negeri tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Iklas Family Berhad, Muhammad Fikri Mohamad Rawi mewakili Takaful IKHLAS, sementara MAIPk diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari pada majlis yang diadakan di Ipoh, Perak, hari ini.

Menurut Takaful IKHLAS, kerjasama itu turut disokong oleh platform pengumpulan dana patuh syariah Takaful IKHLAS iaitu IKHLAS Barakah House (IBH).

“IBH telah ditubuhkan oleh Takaful IKHLAS dengan tujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti-aktiviti yang merangkumi penglibatan masyarakat dengan lima (5) fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, komuniti, kesihatan dan juga alam sekitar,” katanya dalam kenyataan

Katanya, selain pengurusan dan sumbangan dana wakaf, melalui kerjasama ini, Takaful IKHLAS dan MAIPk akan menganjurkan Program Keusahawanan Asnaf (AEP) dan Program Keusahawanan Belia (YEP) untuk menyediakan pengetahuan, latihan dan kemahiran yang diperlukan dalam perniagaan dan pembangunan diri kepada komuniti asnaf dan belia di Perak.

Sementara itu, Muhammad Fikri yakin kerjasama itu dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri Perak.

“Dengan kerjasama ini saya berharap dapat sama-sama meningkatkan lagi kesedaran di kalangan rakyat di negeri Perak untuk memiliki perlindungan takaful dan amalan berwakaf.

“Kami juga percaya bahawa kursus dan latihan keusahawanan yang disediakan melalui program AEP dan YEP akan membantu membina semangat keusahawanan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti asnaf dan belia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat di negeri Perak,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN