Tahap penyeliaan perbelanjaan oleh DUN rendah - IDEAS

Tahap penyeliaan perbelanjaan oleh DUN rendah – IDEAS

MENURUT dapatan IDEAS, DUN dalam sebahagian besar negeri hanya membincangkan belanjawan satu bulan sebelum permulaan tahun belanjawan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dapatan Institut Demorkasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menunjukkan, tahap penyeliaan perbelanjaan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah rendah.

Jelasnya, DUN dalam sebahagian besar negeri hanya membincangkan belanjawan satu bulan sebelum permulaan tahun belanjawan.

Selain itu, penyeliaan oleh PAC dalam negeri sebahagian besarnya tidak dilaporkan, dengan Selangor satu-satunya negeri yang menerbitkan laporan mesyuarat yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) secara dalam talian.

“Tambahan pula, DUN hanya mempunyai jumlah hari bersidang yang amat sedikit, dan hanya tujuh buah negeri yang menerbitkan Penyata Rasmi (Hansard). Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi lemah pula tidak mempunyai Hansard, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang, mahupun masa yang mencukupi untuk membincangkan belanjawan sebelum tahun belanjawan bermula,” jelasnya dalam kenyataan.

IDEAS berkata, dapatan pihaknya juga menunjukkan, hanya Terengganu yang menerbitkan kesemua empat dokumen belanjawan dan memberikan butiran terperinci dalam anggaran perbelanjaan dan hasil.

Lima negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Sabah, telah menerbitkan tiga jenis dokumen belanjawan penting, tetapi tidak memberikan tahap perincian yang sama seperti Terengganu dalam anggaran perbelanjaan dan hasil mereka.

“Baki tujuh negeri lain telah menerbitkan hanya satu atau dua jenis dokumen belanjawan. Negeri-negeri yang menunjukkan prestasi paling lemah dalam ketersediaan awam tidak menyediakan sepenuhnya Cadangan Belanjawan Eksekutif (executive budget proposal (EBP), iaitu satu dokumen belanjawan kritikal yang mengandungi ucapan belanjawan, anggaran perbelanjaan dan hasil, serta rang undang-undang perbekalan. EBP merangkumi sebahagian besar pemberat dalam pemarkahan ketersediaan awam,” katanya.

Sehubungan itu, IDEA berharap, Malaysia Open Budget Index (MyOBI) yang dilancarkannya adalah untuk mempromosikan ketelusan belanjawan pada peringkat negeri di Malaysia.

MyOBI merupakan indeks untuk menentukan tahap ketelusan belanjawan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia. Penilaian dibentuk berdasarkan piawaian yang ditetapkan dalam Tinjauan Belanjawan Terbuka (Open Budget Survey (OBS), satu penilaian antarabangsa berasaskan fakta untuk mengukur ketelusan belanjawan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, MyOBI merupakan inisiatif IDEAS untuk mewujudkan permintaan kebertanggungjawaban yang lebih baik pada peringkat negeri dengan mengukur tahap ketelusan belanjawan yang diamalkan oleh kerajaan-kerajaan negeri.

Kata beliau, ketelusan amat penting terhadap kerajaan negeri kerana mereka menyediakan kemudahan-kemudahan penting, perkhidmatan awam, dan rangsangan kepada pembangunan ekonomi pada peringkat tempatan.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui cara kerajaan negeri memperuntukkan dan membelanjakan sumber awam. MyOBI memberikan kefahaman tentang kerajaan negeri manakah yang telah melakukan yang terbaik dalam mengamalkan ketelusan.

“IDEAS tidak melakukan penilaian ini bersendirian, kami telah bekerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil dan individu-individu berfikiran sivik untuk menjalankan dan menyemak penilaian tersebut dan kami ingin berterima kasih kepada mereka atas kerja keras mereka sepanjang lapan bulan belakangan ini,” katanya.

Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Sri Murniati Yusuf pula berharap, penerbitan MyOBI akan menggalakkan kerajaan negeri untuk menerbitkan dokumen belanjawan dalam talian dan menggalakkan masyarakat awam untuk menyemak serta membaca dokumen-dokumen tersebut.

“Kita memerlukan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan masyarakat awam untuk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan sumber awam diperuntukkan dan dibelanjakan dengan berkesan dan cekap agar kebertanggungjawaban demokrasi berjaya dilaksanakan.

“Untuk negeri-negeri yang menunjukkan dapatan yang menggalakkan, kami berharap amalan sebegini akan berterusan dan ditambah baik pada masa hadapan.

“MyOBI hanya menjejaki ketersediaan awam untuk empat dokumen belanjawan dan memperincikan sebahagian kecil maklumat dalam dokumen tersebut. Menurut amalan terbaik antarabangsa, terdapat empat lagi jenis dokumen belanjawan yang boleh diterbitkan oleh kerajaan negeri untuk memaklumkan masyarakat awam tentang aktiviti belanjawan mereka,” jelasnya.

MyOBI menilai ketersediaan awam dokumen belanjawan dan kualiti mekanisme penyeliaan proses belanjawan.

Untuk mengukur ketersediaan awam, MyOBI menilai penerbitan empat jenis dokumen belanjawan utama dan tahap perincian yang diberikan dalam anggaran pendapatan dan perbelanjaan.

Dokumen-dokumen belanjawan harus tersedia secara percuma dalam talian atau disediakan atas permintaan untuk dikira memenuhi penanda aras. Untuk mengukur kualiti penyeliaan, MyOBI menilai penglibatan DUN termasuk PAC dalam menilai dokumen belanjawan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN